Wednesday, 26 December 2018

300 Pelajar Gunting Rambut Percuma

SHARE

Oleh: Mohd Asraf


DUNGUN, 25 Disember - Seramai 300 murid dan pelajar yang berumur antara tujuh hingga 18 tahun di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sura menyertai program gunting rambut percuma, bagi meringankan bebanan keluarga yang berpendapatan rendah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Haji Wan Hapandi Wan Nik memaklumkan inisiatif itu dapat menampung sedikit perbelanjaan keluarga yang kurang berkemampuan terutama yang mempunyai ramai anak bersekolah menjelang sesi persekolahan baru.

“Kita mendapati ada keluarga mempunyai ramai anak yang masih bersekolah dan mereka terpaksa mengeluarkan belanja besar untuk menggunting rambut sahaja sedangkan masih banyak perbelanjaan yang perlu digunakan untuk perkara lain.

“Melalui program gunting rambut ini, kita memberikan perkhidmatan secara percuma sahaja yang mana sedikit sebanyak menceriakan ibu bapa mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena program sehari anjuran Pemuda PAS DUN Sura, di Pejabat Khidmat Masyarakat DUN Sura, di sini, semalam.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Keusahawan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, berkata pihaknya akan meneruskan program itu berikutan sambutan yang memberangsangkan daripada masyarakat setempat.

“InsyaAllah kita akan jadikan program ini sebagai acara tahunan dalam usaha membantu keluarga yang berpendapatan rendah yang masih mempunyai anak bersekolah,” katanya.


Sementara itu, Pengarah Program, Wan Mohd Azhar Wan Deraman berkata, permintaan daripada ibu bapa supaya diadakan program itu amat menggalakkan sejak awal cuti persekolahan lalu.

“Kami mendapat panggilan dan pertanyaan dari ibu bapa hampir setiap hari tentang bila program ini akan diadakan.


 “Dengan itu kita membuat keputusan untuk mengadakan program sepertimana hari ini sempena cuti persekolahan yang akan tamat minggu depan, " katanya.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: