KUALA TERENGGANU, 4 Disember - Kerajaan Negeri menggalakkan
pembukaan stesen janakuasa baharu berasaskan solar di seluruh negeri dengan
membabitkan tiga buah syarikat bagi pembangunan hijau di negeri Terengganu.
Syarikat-syarikat tersebut termasuk Eastern Pacific
Industrial Corporation (EPIC) Bhd, Synergy Generated Sdn Bhd dan Metrosphere
Sdn Bhd.
Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, bagi
pembangunan hijau, kerajaan negeri menggalakkan pembukaan stesen janakuasa
baharu berasaskan solar di seluruh negeri.
"Beberapa tapak solar telah pun beroperasi di negeri
ini dan anak syarikat kerajaan negeri sendiri telah pun membuka stesen janakuasa
solar berkapasiti 18 Mega Watt (MW) di Kemaman.
"Selain daripada itu, kawasan perindustrian baharu
bertemakan hijau juga diwujudkan di 'Terengganu Silica Valley' (TSV) yang akan
menempatkan industri-industri berasaskan silika," jelasnya.
Katanya, kawasan industri ini akan menempatkan pemain-pemain
utama produk berasaskan silika dan memberikan peluang pekerjaan kepada rakyat
tempatan.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan bertulis Ahli
Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili dalam Mesyuarat
Kedua Penggal Persidangan Pertama Dewan Undangan Negeri Ke-14 di Wisma Darul
Iman di sini baru-baru ini.
ADUN itu dalam soalannya ingin tahu bagaimana kerajaan
merancang dan menggalakkan pembangunan dan pertumbuhan pembangunan yang berasaskan
Industrial Revolution 4.0 (IR 4.0) dan Pembangunan Teknologi Hijau.
Dr Ahmad Samsuri yang juga ADUN Rhu Rendang berkata, EPIC sebagai anak syarikat kerajaan negeri telah
membangunkan Loji Janakuasa Tenaga Solar Berkapasiti 18.5 MW di Kawasan
Perindustrian Teluk Kalong, Kemaman sekali gus menjadi loji janakuasa solar
terbesar beroperasi di negara ini sekarang.
"Projek bernilai kira-kira RM86 juta membabitkan tapak
seluas kira-kira 28.3 hektar itu, telah beroperasi sejak 14 Januari lalu telah berjaya
menghasilkan tenaga solar berkapasiti 18.5 MW.
"Kejayaan EPIC Bhd mengeluarkan tenaga elektrik melalui
teknologi kuasa solar itu adalah sebahagian daripada usaha serius kerajaan
negeri untuk mencuba pelbagai kaedah baru bagi mempelbagaikan sumber pendapatan
termasuk menjimatkan perbelanjaan negeri," jelasnya.
Menurut beliau, Syarikat Synergy Generated Sdn Bhd telah
menjalankan projek ladang solar pertama di Terengganu dengan kapasiti penjanaan
sebanyak 5 MW, dibina di atas tanah seluas kira-kira 20 ekar di Kawasan Perindustrian
Bari, Setiu, bermula tahun 2012.
Syarikat ini katanya, telah mendapat kelulusan pada bulan
Mei lalu untuk membangunkan kawasan kedua di Kawasan Perindustrian Batu Rakit,
Setiu dengan keluasan tanah 16.62 ekar dengan kapasiti penjanaan solar 5 MW.
![]() |
Komponen Solar beroperasi di Teluk Kalong Kemaman. |
"Projek kedua ini adalah projek kerjasama dengan
Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM)," kata Dr Ahmad Samsuri.
Synergy Generated Sdn Bhd telah diperbadankan pada 14
Oktober 2010 dengan tujuan penubuhannya adalah untuk memenuhi keperluan tenaga
boleh diperbaharui seluruh Malaysia.
Syarikat ini katanya, mempunyai kemahiran tenaga kerja dan
pengurusan dalam bidang teknologi 'photovoltaic', 'power transmission' dan 'distribution'.
Sementara itu Metrosphere Sdn Bhd adalah sebuah syarikat
pegangan yang bergiat dalam bidang pelaburan termasuk pembangunan pelabuhan,
operasi kemudahan pelabuhan, pengurusan armada kapal, kapal sokongan luar
pesisir dan bunker bahan api.
"Syarikat ini telah diluluskan untuk membuat
pembangunan Mini Hidro berkapasiti 4 MW di Sungai tersat, Hulu Terengganu.
Projek ini dijangka beroperasi pada pertengahan tahun 2019," jelas
beliau lagi.
Kerajaan juga katanya, dalam perancangan membina bangunan
hijau (Green Building).
Projek ini telah diperkenalkan oleh Kementerian Tenaga,
Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) yang dulu dikenali
sebagai KETTHA.
Menurut beliau bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Terengganu
merupakan satu-satunya bangunan yang akan dijadikan contoh untuk menjalankan
'projek retrofit', di mana penggunaan lampu-lampu hari ini akan ditukar kepada
lampu LED dan penggunaan aircond akan dijimatkan dengan penggunaan 'Chiller
Optimization'.
Katanya, kerajaan negeri kini dalam perancangan untuk
menjadikan amalan hijau ini selari dengan pembangunan negeri.
"Usaha-usaha ini akan dirancang dengan kerjasama
daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan agensi-agensi kerajaan negeri yang
lain," ujarnya.
0 komen: