Monday, 17 December 2018

Tiga Daerah Di Terengganu Dilanda Banjir

SHARE
Air naik di hadapan bangunan Yayasan Islam Terengganu.
KUALA TERENGGANU, 17 Disember - Hujan lebat yang bermula jam 3.00 pagi tadi dan berterusan sehingga jam 8.00 pagi ini menunjukan keamatan hujan yang sangat lebat melebihi 100mm dalam tempoh 3 jam dan ada yang melebihi 200mm/6 jam di stesen-stesen sekitar daerah Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan Marang.

Timbalan Pengarah Pembangunan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu, Osman Abdullah berkata, kebiasaan hujan 200mm ini direkod untuk tempoh sebulan musim biasa. Keadaan ini dikhuatiri boleh menyebabkan banjir kilat.

"Beberapa kawasan telah dilaporkan berlaku banjir kilat di Kuala Terengganu dan Kuala Nerus melibatkan sekitar Jalan Sultan Omar, sekitar Jalan Kamarudin, hadapan sekolah di Kuala Ibai, Taman Sri Intan, Jalan Tekukur Taman Dahlia, Simpang 4 Chendering, selekoh Kubang Ikan dan  berdekatan Sekolah Menengah Datuk Razali.

"Manakala kawasan terjejas di Marang termasuklah Kampung Kijing, Kampung Rhu Muda, Kampung Gong Merawang, Kampung Seberang Marang, Kampung Serating, Kampung Pulau Rusa dan Kampung Kelulut," katanya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi pemberita hari ini, mengulas tentang keadaan banjir di Terengganu.

"Untuk makluman, kebanyakan sungai-sungai masih lagi berada di aras normal kecuali Sungai Telemong di Kuala Ping, Hulu Terengganu dan Sungai Chalok, Setiu yang baru melepasi waspada jam 10.00 pagi ini.

"Daripada jadual pasang surut yang dikeluarkan oleh Pusat Hidrografi Nasional Malaysia, air laut pasang besar bermula akan bermula 20 hingga 28 Disember 2018," jelasnya.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: