Tuesday, 4 December 2018

2,900 Penerima Bantuan Sekolah DUN Bukit Besi Ukir Wajah Ceria

SHARE


Oleh : Adli Mohamad

DUNGUN, 3 November- Perasaan gembira jelas terbayang pada raut wajah kebanyakan ibu bapa di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, di sini, hari ini, apabila mula menerima bantuan pakaian persekolahan untuk anak-anak mereka untuk sesi baharu 2019 secara berperingkat-peringkat.

Bantuan pakaian termasuk kasut dan beg sekolah yang berjenama `Canggih' antara insentif ditunggu-tunggu ibu bapa sejak memohon pada Oktober lalu.

Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata,  bantuan itu menzahirkan bahawa kerajaan negeri melakukan apa sahaja yang difikirkan terbaik dalam meringankan bebanan ibu bapa.

"Kerajaan negeri meneruskan lagi bantuan persekolahan. Hari ini merupakan hari pertama dilakukan agihan, di mana baucer yang diperolehi ditebus di sini. Ia menunjukkan kerajaan negeri benar-benar ingin membantu rakyat dan menjaga kebajikan mereka dalam pelbagai aspek kehidupan," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika hadir semasa proses pengagihan bantuan persekolahan, di Dewan Sivik, Kampung Jerangau, di sini, pada hari ini.

Ghazali berkata, kerajaan negeri amat mengutamakan sektor pendidikan bagi membangunkan modal insan berteraskan slogan Terengganu, Maju Berkat Sejahtera sepertimana dalam bajet dibentangkan Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar minggu lalu.

"Di samping itu juga, ramai ibu bapa yang hadir senang hati dan.memuji cara agihan yang dilakukan oleh kakitangan i-MiTS (Institut Modal Insan Sejahtera Terengganu)," ujarnya.




Sementara itu Penyelia i-MiTS DUN Bukit Besi, Khaziman Khalik berkata, kira-kira 2,900 pemohon di DUN berkenaan memperolehi bantuan berkenaan.

"Agihan ini akan dijalankan selama tiga hari. Berkaitan dengan baju pengawas atau yang memerlukan selain warna putih kerana menjawat jawatan tertentu di sekolah boleh melakukan pertukaran.

"Ibu bapa atau penjaga ambil dahulu pakaian di sini, kemudian ditukar sendiri di kedai pengedar baju sekolah 'Canggih' dan jika ianya berlainan harga, ibu bapa perlu menambah sendiri kos berkenaan," katanya.


Menurutnya, semua penerima menyatakan rasa puas hati dan pulang bersama anak masing-masing dengan senyuman kerana sumbangan itu sekurang-kurangnya meringankan bebanan keluarga terutama yang memiliki anak ramai dan berpendatan rendah.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: