Sunday, 16 December 2018

2,800 Hektar Rizab Padang Ragut Tidak Dimanfaatkan

SHARE
 Dr. Azman Ibrahim
KUALA TERENGGANU 16 Disember-Terengganu mempunyai kira-kira 2,800 hektar rizab padang ragut yang belum digunakan sepenuhnya daripada 4,800 hektar tanah dirizabkan di bawah Seksyen 62 Kanun Tanah Negara.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, rizab padang ragut ialah tanah rizab untuk kegunaan awam bagi maksud tujuan penternakan.

Jelasnya, tanah rizab padang ragut ialah tanah kerajaan dengan Pengarah Veterinar Negeri sebagai pegawai pengawal.

“Bermakna pemilik tanah ialah kerajaan, cuma dijaga oleh pegawai pengawal.Boleh ambil rumput atau masukkan ternakan tapi tak boleh dijadikan kawasan persendirian, dengan makna lain, penternak kampung sekitar boleh pakat-pakat guna dan ambil manfaat.

“Kalau berniat nak jadikan sebagai kawasan kegunaan persendirian, kena mohon pajakan dari Jabatan Veterinar dan pihak jabatan akan majukan permohonan untuk pertimbangan pihak berkuasa negeri,”katanya dalam satu kenyataan kepada Urusetia Penerangan Darul Iman(UPDI), di sini hari ini.

Tambahnya, penggunaan rizab padang ragut di Terengganu tidak dimanfaatkan sepenuhnya untuk penternakan malah sebahagiannya dicerobohi dengan penanaman kelapa sawit.

“Kerana itulah, bila timbul isu lembu berkeliaran di jalan raya kononnya tak ada tempat nak pelihara, ia agak pelik kerana kita ada sekitar 2800 hektar lagi rizab padang ragut yang belum digunakan,”ujar Dr. Azman.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: