Tuesday, 18 December 2018

16 Keluarga Terjejas Akibat Banjir Kilat Di Kg Gong Tok Nasek

SHARE
Antara mangsa yang masih ditempatkan di PPS
Oleh: Fidee Aziz

KUALA TERENGGANU 17 Disember- Penduduk Kampung Gong Tok Nasek di sini terkejut apabila kampung mereka dilanda banjir kilat setelah hujan lebat selama beberapa jam, malam kelmarin.

Hujan lebat bermula jam 3 pagi dan berterusan lima jam mengakibatkan banjir yang sebelum ini tidak pernah di alami di sekitar kampung tersebut turut disebabkan faktor pertembungan air pasang serta masalah perparitan.

Berikutan itu, 16 keluarga mangsa terpaksa dipindahkan terdiri daripada 68 orang termasuk kanak-kanak, bayi, dan warga emas  ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan(SK) Gong Tok Nasek sejak petang semalam.

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri dalam satu kenyataan berkata hujan yang direkodkan di stesen-stesen sekitar daerah Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan Marang menunjukan keamatan hujan yang sangat lebat melebihi 100 milimeter (mm) dalam tempoh tiga jam.

Sementara itu, Penyelia Institut Modal Insan Sejahtera Dewan Undangan Negeri(DUN) Batu Buruk, Ustaz Abu Bakar Salleh mengarahkan semua Majlis Pengurusan Komuniti Kampung(MPKK) untuk turun rumah ke rumah supaya berpindah ke PPS bagi mengelakkan sebarang kemalangan nyawa berlaku.

“Kita minta orang ramai tidak panik dan sentiasa peka dengan pengumuman dan arahan pihak berkuasa,”katanya ketika melawat mangsa banjir yang berada di PPS SK Gong Tok Nasek.

Turut hadir,Setiausaha Majlis Pengurusan Komuniti Kampung(MPKK) Gong Tok Nasek,Mohamad Hanafi Ismail.

Setakat jam 10 pagi tadi, sebanyak lapan PPS  masih diaktifkan membabitkan dua daerah iaitu Kuala Terengganu dan Marang melibatkan 853 mangsa daripada 218 keluarga dipindahkan ke PPS sejak pagi semalam berikutan kawasan perumahan mereka ditenggelami air.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: