Sunday, 23 December 2018

11 Barang Kawalan Sempena Krismas Di Terengganu

SHARE
Mohd Nurkhuzaini  membuat tinjauan harga ayam di Pasaraya Xiri Gong Datok.
KUALA NERUS, 23 Disember - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menetapkan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Krismas (SKHMP) bagi 2018 berkuatkuasa hari ini hingga 27 Disember ini bagi Terengganu.

Pengarah Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan kepenggunaan (KPDNKK) negeri, Saharuddin Mohd. Kia berkata, pelaksanaan kawalan harga itu dilakukan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Jelasnya, SKHMP yang bermula hari ini berjalan lancar dengan harga 11 jenis barangan berada pada paras kawalan atau dijual pada harga lebih rendah.

“Tempoh kuat kuasa skim ini adalah selama lima hari iaitu selama dua hari sebelum dan selepas hari perayaan serta sehari pada hari perayaan di seluruh negara.

“Peniaga diwajibkan menjual barangan terkawal tidak melebihi harga maksimum ditentukan dan meletakkan tanda harga khas berwarna merah jambu bagi membezakan dengan barangan lain,” katanya kepada pemberita di sidang media sempena pelancaran SKHMP Krismas di Pasaraya Xiri di Gong Datok, Gong Badak di sini hari ini.

Majlis pelancaran disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Haji Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman.

Tambah Saharuddin, bagi membendung kenaikan harga yang tidak munasabah oleh peniaga yang tidak bertanggungjawab, tindakan pengeluaran notis di bawah Seksyen 21 Akta kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 akan dilaksanakan ke atas mana-mana pihak yang didapati menaikkan harga secara mendadak.

“Para peniaga diingatkan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah skim ini,” ujarnya lagi.

Sekiranya gagal mematuhi Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 bagi perseorangan, kesalahan pertama denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000.

Sementara itu bagi syarikat untuk kesalahan pertama, denda tidak melebihi RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000 .

Sebanyak 11 jenis barangan disenaraikan di bawah skim itu bersempena sambutan Krismas pada Selasa ini seperti ayam hidup, ayam standard, ayam super, ayam tua hidup, ayam belanda import, kepak ayam, daging kambing tempatan bertulang, daging kambing dan daging bebiri bertulang, telur gred A, telur gred B, telur gred C, tomato dan lada benggala hijau.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: