Thursday, 29 November 2018

Zuraida ADUN Wanita Pertama Terengganu

SHARE

Zuraida Md Noor
KUALA TERENGGANU 29 November - Kerajaan PAS Terengganu mencipta sejarah apabila melantik Zuraida Md Noor sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) wanita pertama di Terengganu.

Zuraida, 38, yang juga Pengarah Ameerah negeri mengangkat sumpah memegang jawatan itu selama sepenggal bagi tempoh lima tahun, hari ini, di hadapan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Yahaya Ali.

Pemilihan itu dibuat selaras dengan pelantikan ADUN yang termaktub dalam Perkara 27, Fasal 2, Undang-Undang Tubuh negeri Terengganu yang diluluskan ketika era pemerintahan PAS pada 1999 hingga 2004.

 Zuraida dilahirkan pada 1 Ogos 1980 di Kuala Terengganu, mendapat pendidikan awal di Sekolah Menengah Tengku Bariah sebelum ke Terengganu Advanced Technical Institute (1998-2002) dalam Diploma In Manufacturing Engineering (Major in Tool  & Die Design).
                                                                
Beliau kemudian menyambung pelajaran di Open University Malaysia dan mendapat  Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam.

Zuraida ketika mengangkat sumpah sebagai ADUN Wanita di Sidang Dewan Undangan Negeri, hari ini
Ibu kepada tiga cahaya mata berusia antara 12 hingga 18 tahun, mula berkhidmat sebagai Pensyarah Di Akademi Caddcam pada 2002-2007 dalam bidang Expert in Computer Aided Design & Computer Aided Manufacturing) Software: AutoCAD & IDEAS.

Beliau mula terlibat secara serius dalam organisasi PAS bermula 2007  juga aktif menyertai Misi Kemanusiaan di Kem Pelarian Rohingya Cox’s  Bazar, Bangladesh; Misi Kemanusiaan di Kem Pelarian Rohingya di Acheh; Misi Dakwah di Sarawak serta Misi Korban dan Aqiqah di Kemboja.

Zuraida ketika ditemui selepas majlis angkat sumpah berkata, pelantikan ini menjadi satu pengiktirafan cukup besar kerajaan negeri kepadanya yang mewakili golongan wanita untuk sama-sama menyumbang idea kepada pentadbiran dan pembangunan negeri.

“Ini satu penghormatan dan kepercayaan dalam memartabatkan wanita dalam kepimpinan bagi membawa isu berkaitan wanita dan kekeluargaan, selain berkhidmat untuk semua masyarakat.

“Kami percaya wanita lebih dinamik dan holistik untuk membantu kerajaan negeri bagi menyelesaikan isu rakyat dengan slogan ‘ADUN Wanita Untuk semua’ demi agama, bangsa dan negara,”ujarnya

Untuk rekod, Terengganu merupakan negeri pertama di Semenanjung Malaysia melantik ADUN wanita yang membolehkan wanita yang tidak dicalonkan dalam Pilihan Raya Umum mewakili DUN untuk bercakap, berbahas dan mengemukakan soalan kepada DUN Terengganu, selain mempunyai hak yang sama seperti ADUN lain tetapi tidak boleh mengundi.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: