Thursday, 15 November 2018

YPKT Lahir 1,170 Huffaz Kanak-kanak

SHARE


Haji Yahaya (dua dari kiri) menyampaikan sijil dan hadiah saguhati kepada kanak-kanak di Majlis Hafaz Muqaddam dan Graduasi Kanak-kanak TPK Parlimen Marang. 
MARANG, 15 November - Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) berjaya melahirkan seramai 1,170 kanak-kanak berumur empat tahun yang menghafaz sebanyak 23 ayat lazim seluruh negeri tahun ini, termasuk 132 orang kanak-kanak dari Parlimen Marang.

Beliau berkata tahun ini Majlis Hafaz Muqaddam anjuran YPKT dilaksanakan mengikut Parlimen dan bagi parlimen Marang yayasan itu berjaya melahirkan seramai 132 huffaz cilik.

"Saya percaya dengan kurikulum bersepadu yang dilaksanakan oleh YPKT di 66 buah TASKA PERMATA KELUARGA (TPK) seluruh negeri, mampu menggilap dan meningkatkan potensi diri sekaligus menerapkan nilai-nilai kerohanian dan sahsiah diri anak-anak sejak awal usia," ujarnya.

Haji Yahaya berucap di Majlis Hafaz Muqaddam (23 Surah Lazim) dan Graduasi 2018, TPK Parlimen Marang.
Kerajaan Negeri katanya sangat menggalakkan usaha menyubur pembinaan keluarga bahagia sebagai asas kesejahteraan rakyat, apatah lagi institusi keluarga adalah unit terpenting dalam pembinaan setiap masyarakat.

Justeru kerajaan negeri telah membelanjakan kira-kira RM20 juta setahun untuk kos pengurusan dan operasi TASKA seluruh negeri, manakala hasil kutipan yuran adalah kira-kira RM10 juta setahun.

"Ini menunjukkan kerajaan negeri perlu menanggung kos pengurusan sebanyak RM10 juta setahun iaitu kira-kira 50 peratus daripada kos perbelanjaan tidak termasuk kos pembaikian, penyelenggaraan bangunan TASKA dan peralatan serta permainan kanak-kanak," jelasnya.

Kanak-kanak Parlimen Marang diraikan di Majlis Hafaz Muqaddam (23 Surah Lazim) dan Graduasi 2018, TPK Parlimen Marang.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Haji Yahaya Ali dalam Majlis Hafaz Muqaddam (23 Surah Lazim) dan Graduasi 2018, TPK Parlimen Marang anjuran YPKT di Dewan Masjid Sultanah Nur Zahirah di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah YPKT Haji Mohd Shafaruddin Mustaffa, Isteri Haji Yahaya, Hajah Zarani Othman yang juga Ibu Angkat TPK Pengadang Baru, Ibu Angkat TPK Taman Desa Permai, To' Puan Seri Hajah Zainah Awang Ngah, Ibu Angkat TPK Belukar Jambu, Zainon Wahab, Ibu Angkat TPK Kampung Pak Madah, Arinah Lah dan Pengurus Besar PTPTN Negeri, Azizah Nasik @ Abd Rashid.

Dr Ahmad Samsuri seterusnya berkata, YPKT merupakan satu-satunya agensi kerajaan negeri terbesar dalam negara yang melaksanakan perkhidmatan TASKA untuk kanak-kanak berumur empat tahun dan ke bawah.

Justeru katanya, dengan penubuhan TPK, ia telah memberi peluang kepada kanak-kanak di rumah bagi memperolehi suatu bentuk asuhan dan didikan formal sebagaimana diajar di pusat asuhan tersebut.

SHARE

Penulis: verified_user


0 komen: