Thursday, 22 November 2018

Wanita Digalak Bersukan, Jaga Syariat

SHARE
Ghazali menyampaikan pesanan kepada peserta Kejohanan Bola Jaring Tertutup DUN Bukit Besi sebelum bermulanya pertandingan.


Oleh : Adli Mohamad

DUNGUN, 21 November- Bersukan amat digalakkan dalam Islam, bahkan ianya juga merupakan sunnah Rasulullah SAW. Aktiviti sihat itu bukan semata-mata dikhususkan untuk lelaki, ianya juga untuk wanita, namun perlu mengikut garis panduan Islam agar terjaga syariat.

Pegawai Penyaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, kerajaan negeri juga tidak menghalang wanita melibatkan diri dalam aktiviti berfaedah seperti bersukan bagi menjadikan diri sihat dan memupuk gaya hidup sihat.








"Malah amat digalakkan wanita bersukan. Apa yang perlu dijaga adalah etika pemakaian mengikut syariat serta aktiviti itu juga perlu ada batasan iaitu diadakan di tempat yang khusus, jauh dari pandangan lelaki kerana perlu menjaga aurat dan pergaulan antara lelaki dan wanita.

"Sebagaimana kejohanan bola jaring yang diadakan ini dengan memilih tempat yang kita rasa selamat dan terjamin, jauh dari pandangan awam yang boleh menimbulkan fitnah dan aib sesama kita," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada upacara penyampaian hadiah Kejohanan Bola Jaring Tertutup DUN Bukit Besi anjuran Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera ( i-MiTS) diadakan di sini, semalam.



Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Bukit Besi Cawangan Perumahan muncul sebagai juara dalam kejohanan julung kali itu.

Dalam pada itu, Ghazali juga berharap, pertandingan yang sihat seumpama itu akan terus dianjurkan supaya bukan sahaja menjadikan fizikal dan emosi peserta sihat, malahdapat  merapatkan ukhuwah antara wanita di DUN Bukit Besi.

"Di samping itu, peserta juga dapat menguruskan emosi agar tidak tertekan dengan rutin harian yang menumpukan pada kerja semata-mata. Otak akan penat jika bekerja sahaja dan perlunya pada aktiviti beriadah dan bersukan," jelasnya.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: