Sunday, 4 November 2018

Wajib Jual Barangan Harga Terkawal Tidak Melebihi Harga Maksimum

SHARE
Para peniaga diwajbkan menjual barangan harga terkawal tidak melebihi harga terkawal. Foto - Afiq M. Zaid
KUALA NERUS, 4 November - Para peniaga diwajibkan menjual barangan harga terkawal tidak melebihi harga maksimum yang ditentukan oleh Kerajaan Persekutuan.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd. Nurkhuzaini Ab. Rahman berkata, setiap peniaga mestilah meletakkan tanda harga khas berwarna merah jambu ke atas barangan terkawal bagi membezakan dengan barangan lain.

“Walau bagaimanapun, peniaga  digalakkan menjual barangan tersebut lebih rendah daripada harga maksimum sekiranya harga yang diperolehi adalah lebih rendah.

“Para peniaga juga diingatkan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah skim ini,” ujarnya.


Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota putera berkata demikian dalam sidang media pada Majlis Pelancaran Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Deepavali 2018 di Mydin Gong Badak, semalam.

Menurutnya, mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan boleh dikenakan penalti seperti kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum dari segi inidividu boleh didenda oleh mahkamah sehingga  RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-dua atau dikompaun sehingga RM50,000 dan syarikat boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000.

Peniaga juga boleh diambil tindakan apabila melakukan kesalahan gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal. Individu tersabit kesalahan boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM10,000 atau dikompaun sehingga RM5,000 dan syarikat pula boleh didenda sehingga RM20,000 atau dikompaun sehingga RM10,000.


Sehubungan itu, dalam usaha untuk melindungi pengguna, Kementerian turut meningkatkan keberadaan pegawai-pegawai penguatkuasa di tempat-tempat terpilih  yang menjadi tumpuan orang ramai melalui tindakan 'omnipresence'.

Di samping itu, Kementerian turut memperkukuhkan pemantauan harga dengan mengadakan kerjasama bersama pelbagai pihak antaranya, Friends Of  KPDNHEP (FOK) dan kerajaan negeri serta agensi-agensi kerajaan.

“Skim ini dilaksanakan supaya pengguna dapat memperoleh barangan terutamanya pada musim perayaan pada harga yang berpatutan dan menyekat daripada peningkatan harga yang melampau.

“Ia juga merupakan antara langkah kerajaan untuk mengurangkan bebanan sara hidup rakyat dalam negara,” jelasnya.

Hadir sama, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu, Saharuddin Mohd Kia.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: