Wednesday, 21 November 2018

Vaksin, Antara Mitos Dan Realiti

SHARE

KUALA TERENGGANU, 20 November - Ada di kalangan ibu bapa pada hari ini menolak pengambilan vaksin kepada anak-anak akibat mempercayai dan merujuk mitos kesan buruk yang didorong oleh teori dan spekulasi terhadap kaedah imunisasi pencegahan penyakit itu semata-mata.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Ustaz Ridzuan Hashim berkata, antara dakwaan yang dikemukakan adalah vaksin yang dihasilkan daripada bahan yang haram dan merupakan agenda Yahudi malah, sehingga menyebabkan ada segelintir ibu bapa yang sanggup menyerahkan tahap kesihatan anak mereka kepada ketentuan Allah SWT.

“Perkara ini perlu diambil perhatian serius koleh ibu bapa bagi mengelak penyakit yang merebak dan sukar dibendung (akibat tiada pengambilan vaksin). Pemikiran masyarakat hari ini, kononnya vaksin ini dibuat dari sesuatu yang najis, agenda Yahudi dan sebagainya perlulah ditangkis.

“Antara kesannya ialah para ibu bapa akan gagal mengikuti jadual imunisasi yang ditetapkan pada setiap kanak-kanak dan merisikokan kanak-kanak tersebut terdedah kepada penyakit berjangkit dan akan menjangkiti kanak-kanak lain pula,"katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu ceramah kesihatan penyakit berjangkit demam campak anjuran Kementerian Kesihatan Malaysia dan Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) dan Pusat Khidmat ADUN Buluh Gading di Dewan Sivik Kg Buluh Gading, kelmarin.


Turut hadir, Pakar Kanak-Kanak Hospital Sultanah Nur Zahirah, Dr Mohd Zuraizi Jaafar.

Ridzuan berkata, Islam sangat mengambil berat soal kesihatan kerana Allah SWT turut mengingatkan supaya umatnya sentiasa menjaga diri dan keluarga dari perkara-perkara yang membawa kebinasaan dan kemusnahan.

“Nabi Muhammad SAW pernah bersabda jika sesuatu tempat itu dilanda taun, penduduknya dilarang keluar dari kawasan tersebut dan orang luar juga dilarang masuk.

“Inilah konsep kuarantin di zaman Rasulullah SAW yang masih dipraktikkan sehingga sekarang,"katanya.

Beliau juga mengingatkan semua masyarakat hari ini supaya lebih bijak dan mempergiatkan usaha  mengambil langkah pencegahan awal terhadap setiap penyakit berbanding merawat.



SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: