Friday, 23 November 2018

Ustaz Wan Sukairi Hantar Sukarelawan Ke Palu

SHARE
Ustaz Wan Sukairi (kiri)  berucap melepaskan misi NGO Terengganu ke Palu di Lapangan Terbang Sultan Mahmud Kuala Nerus semalam .
KUALA NERUS,  23 November - Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Negeri,  Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah menghantar 17 anggota pelbagai NGO Terengganu ke Palu,  Sulawesi Indonesia di Lapangan Terbang Sultan Mahmud di sini semalam. 

Ustaz Wan Sukairi berkata,  tindakan proaktif kumpulan sukarelawan itu menunjukkan keprihatinan mereka terhadap permasalahan bencana gempa bumi itu. 

"Apa yang dilakukan oleh kumpulan NGO ini,  bukan sahaja satu keprihatinan tetapi juga semangat kebersamaan dengan rakyat Indonesia khususnya warga Palu,  Sulawesi,  yang menghadapi bencana," jelasnya.

"NGO Terengganu perlu bertindak pro aktif ."-Ustaz Wan Sukairi.
Beliau berucap di Majlis 'Flag Off' Misi Kemanusiaan Palu,  Sulawesi Indonesia di lapangan terbang tersebut semalam. 

NGO menyertai misi itu terdiri dari Papisma, Iman Care, Yayasan Amal Malaysia, KAMI,  U Care Indonesia,  Kuala Terengganu Care dan lain-lain. Misi tersebut bermula 22 hingga 27 November ini.

Seterusnya Ustaz Wan Sukairi yang juga Ahli Dewan Undangan (ADUN) Wakaf Mempelam berkata,  NGO berkenaan mengambil tindakan pro aktif termasuk mengumpulkan dana sebanyak RM70,000 untuk membangun institusi rumah ibadat termasuk masjid dan surau. 

"Apa yang berlaku kepada mereka,  kita tidak hanya sekadar memandang dengan mata sahaja,  ataupun membaca dengan mulut,  mendengar dengan telinga bahkan kita mengambil tindakan pro aktif termasuk mengumpul dana bagi meringankan bebanan yang ditanggung oleh penduduk Palu," jelasnya. 

Beliau mengucapkan terima kasih di atas inisiatif yang diambil oleh kumpulan profesional dari kalangan NGO berkenaan bagi menyediakan khidmat kaunseling dan khidmat nasihat kepada penduduk Palu. 

"Ianya perlu bagi mengatasi masalah kemingkunan ada di kalangan kanak-kanak,  remaja atau golongan belia yang masih trauma dengan peristiwa yang berlaku kepada mereka," ujar beliau. 

Apa yang penting kata beliau,  semangat prihatin di kalangan rakyat Terengganu terhadap permasalahan di Palu, melambangkan mereka adalah masyarakat berkemajuan bukan sahaja dari sudut harta benda tetapi dari sudut merasai susah senang mereka yang ditimpa musibah. 
SHARE

Penulis: verified_user


0 komen: