Saturday, 24 November 2018

Umat Islam Perlu Bersatu Bantah ICERD

SHARE

 Oleh: Hanif Hamdan

HULU TERENGGANU, 24 November - Kerajaan negeri menyambut baik keputusan Kerajaan Pakatan Harapan untuk tidak meratifikasi ICERD sebagaimana kenyataan akhbar oleh Pejabat Perdana Menteri semalam, namun umat Islam digesa meneruskan bantahan kepada cadangan untuk ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) yang menyentuh perkara berkaitan kepentingan Islam, Institusi Diraja, Melayu dan Bumiputera.

Pengerusi Jawatankuasa Insfrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau Terengganu, Dr. Mamad Puteh berkata, rakyat perlu memberikan peringatan dan amaran kepada Kerajaan Pusat dengan menghadirkan diri dalam Himpunan Aman tolak ICERD yang akan diadakan di Dataran Merdeka mengikut jadual asal pada 8 Disember ini.

"ICERD ini merupakan salah satu agenda Yahudi yang pastinya akan memberikan kesan buruk kepada negara ini dan umat Islam.

“Ia merupakan agenda Yahudi melalui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dan kita tidak akan sesekali ikut telunjuk dan peraturan mereka kerana kita sudah ada peraturan kita sendiri iaitu al-Quran dan hadis,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Himpunan Bantah ICERD di Masjid Kampung Butut, Kuala Berang selepas solat di sini, semalam.


Turut hadir dalam Himpunan Bantah ICERD ialah Setiausaha Politik Menteri Besar, Haji Muhyiddin Abd Rashid, Pengarah Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera, Ustaz Kamaruzaman Abdullah, Ketua Pemuda PAS Kawasan Hulu Terengganu, Ustaz Harun Esa dan Ketua Pemuda DUN Kuala Berang, Ustaz Aminuddin Mohamed.

Beliau yang juga Pengarah Majlis Tindakan DUN (MTD) Kuala Berang berkata, sudah tiba masanya umat Islam bersatu demi kebaikan bersama.

"Pada hari ini, marilah kita seluruh umat Islam bersatu untuk hadir himpunan yang akan diadakan pada bulan depan di Dataran Merdeka kerana kehadiran kita yang ramai mampu memberikan isyarat penting kepada Kerajaan Pusat bahawa umat Islam menolak sekeras-kerasnya ICERD ini daripada dilaksanakan,” tegasnya.

Tambahnya, Kerajaan Persekutuan diingatkan supaya tidak mengusik apa-apa yang termaktub dalam perlembagaan termasuk menyamaratakan Islam dengan agama lain, kedaulatan Raja-raja Melayu, dan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: