Sunday, 11 November 2018

Ulat Bungkus Ancam Tanaman Sawit

SHARE

Oleh: Khalid Abdullah

KEMAMAN, 9 November- Beberapa kawasan tanaman kelapa sawit terutamanya di Felda Kertih 5, di sini, adalah antara kawasan serius diancam ulat bungkus.

Ahli Parlimen Kemaman, Ustaz Che Alias Abd Hamid berkata, pihaknya memandang serius berhubung perkara itu kerana ianya boleh mengurangkan produktiviti pokok sawit terlibat antara 30 dan 50 peratus.

"Masalah ini melibatkan sejenis ulat parasit (ulat bungkus) yang hinggap serta menyerang pokok kelapa sawit.

"Walaupun bersaiz kecil, ia boleh menjejaskan keseluruhan pelepah sawit daripada pokok ke pokok dengan merosakkan daun hijau sehingga kering.

"Serangan ulat bungkus yang memakan daun sawit menjejaskan keluaran tandan dan menyebabkan pendapatan para peneroka akan terjejas," katanya dalam satu kenyataan kelmarin.

Sementara itu, Pengurus Felda Kertih 5, Mohd Faisal Fauzi ketika memberikan taklimat kepada Che Alias berkata, serangan ulat bungkus boleh merosakkan permukaan daun sawit sehingga menjadi kering dan reput.

"Ulat bungkus merebak melalui angin, daun sawit yang bersentuhan dan bawaan jentera ladang.

"Masalah ini berlarutan apabila terdapat ladang dan peneroka yang tidak mengambil langkah-langkah kawalan terhadap serangan ulat bungkus di peringkat awal menyebabkan serangan merebak dan mengancam pengeluaran hasil sawit," katanya.

Justeru, Ustaz Che Alias bercadang membawa isu ulat bungkus ke Parlimen dan berharap kerajaan dapat membentangkan cadangan komprehensif dalam menyelesaikan masalah ancaman serangan ulat bungkus bagi jangka pendek dan panjang.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: