Tuesday, 20 November 2018

Tidak Beragama Samaratakan Agama

SHARE
"Tak boleh samaratakan Islam dengan agama lain ." - Tuan Guru Haji Abdul Hadi
KUALA TERENGGANU,  20 November - Ahli Parlimen Marang,  Dato' Seri Haji Abdul Hadi Awang berkata,  umat Islam wajib menentang ICERD kerana dasar kesamarataannya yang tidak adil termasuk menyamaratakan Islam dengan agama lain.

Orang yang melakukan perbuatan tersebut disifatkannya sebagai tidak beragama.

Beliau berkata,  ICERD ialah satu fahaman yang dibawa oleh barat supaya memberi hak samarata antara kaum kononnya untuk menegakkan keadilan.

"Kita kena faham bahawa maksud adil itu ialah meletakkan sesuatu kena pada tempatnya, " katanya.

Tuan Guru Haji Abdul Hadi (kanan) menyampaikan tausiyahnya di Masjid Abidin Kuala Terengganu semalam
Sebagai contoh ibu bapa yang ada anak 10 orang,  tidak sama dengan ibu bapa yang mempunyai anak tiga orang.

"Tak boleh atas dasar sama rata menyamakan pembahagian (nafkah dan lain-lain)  antara kedua-duanya.

"Mesti dibezakan antara kedua jenis ibu bapa itu," jelas beliau.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan tausiyah sempena Majlis Ambang Maulidul Rasul di Masjid Abidin di sini semalam.

Dr Ahmad Samsuri bersalaman dengan orang ramai di Masjid Abidin Kuala Terengganu semalam.
Turut hadir, Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar,  Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri,  Haji Yahaya Ali,  Setiausaha Kerajaan Negeri,  Dato' A Rahman Yahya,  Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Negeri,  Ustaz Mohd Nor Hamzah, Exco-exco Kerajaan Negeri dan Penasihat Undang-Undang Negeri,  Dato' Azhar Abdul Hamid dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar,  Ustaz Ahmad Shah Mohamed.

Abdul Hadi yang juga Presiden PAS berkata, orang Islam bumiputera di negara ini dalam keadaan ketinggalan,  diatur oleh penjajah Inggeris dahulu.

Katanya,  orang bukan Islam diletak di bandar,  manakala orang Islam diletak di pinggir bandar,  di kampung dan di kawasan pendalaman.

Menurut beliau,  orang bukan Islam di bandar menguasai perniagaan dan pelabuhan manakala orang Islam   banyak yang miskin dan kemudahan pelajarannya lemah.

"Orang Islam telah diberi hak tidak adil oleh penjajah kerana mereka disisih sejak dahulu untuk menguasai bandar dan ekonomi negara.

"Justeru ICERD wajib ditentang kerana menjadikan kedudukan agama Islam sama dengan agama-agama lain, " tegasnya.

Orang Islam katanya,  tidak boleh menyifatkan Islam sama dengan agama lain kerana orang yang menyifatkan demikian tidak beragama.

Menurut beliau, orang Islam wajib menjaga sempadan termasuk tidak menyamakan Islam dengan agama lain.

"Nak perjuangkan persamaan hak sehingga menganggap Islam sama dengan agama lain,  ini tidak betul kerana orang menyamaratakan Islam dengan agama lain sebenarnya dia tidak beragama," tegasnya lagi. 
SHARE

Penulis: verified_user


0 komen: