Thursday, 29 November 2018

Terengganu Tubuh Jawatankuasa Tambah Baik Pengurusan Dewan

SHARE
Yahaya Ali.
KUALA TERENGGANU, 29 November - Kerajaan Terengganu menubuhkan Jawatankuasa Terpilih Pengurusan Dewan yang dianggotai tujuh  orang ahli termasuk kerajaan dan parti pembangkang bagi menambahbaik sistem pengurusan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu.

Yang Dipertua DUN Terengganu, Yahaya Ali berkata, buat julung kalinya jawatankuasa terbabit dibentuk di negeri ini.

Katanya, jawatankuasa yang dipengerusikan sendiri oleh beliau itu dianggotai oleh enam orang lagi ahli jawatankuasa termasuk seorang dari kalangan Yang Berhormat pembangkang.

Yahaya berkata, penubuhannya bagi membantu dari segi perancangan, pentadbiran dan pengurusan dewan secara lebih berobjektif.

“Bukan saya kata dahulu tidak berobjektif tetapi biasanya dalam pengurusan dewan ini lebih kepada budi bicara pihak Yang Dipertua Dewan.

“Tetapi apabila kita ada satu jawatankuasa terpilih seumpama ini yang melibatkan soal pentadbiran serta pengurusan dewan, ianya akan menambah baik peranan dewan itu sendiri,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika sidang media di Mesyuarat Kedua Penggal Pertama DUN Terengganu Keempat Belas (Bajet), di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Katanya, Jawatankuasa Terpilih Pengurusan Dewan juga bertanggungjawab dalam soal mengkaji dan membuat penambahbaikan berkait dengan peraturan tetap dewan.

“Maknanya, untuk jangka panjang selepas ini dewan boleh memikirkan secara lebih jauh ke hadapan termasuk dalam konteks peranan ahli-ahli badan legislatif serta kebajikan ahli dewan.

“Juga termasuk penambahbaikan yang perlu dibuat dengan program serta kursus yang lebih tersusun untuk pendedahan ahli dewan  bagi menjadikan Dewan Terengganu antara yang terbaik insya-Allah,” ujarnya.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: