Monday, 19 November 2018

Terengganu Tubuh Hab Pemprosesan Dan Pengembangan Cendawan Pertama Di Malaysia

SHARE
Dr Azman (tengah) memeriksa cendawan segar yang terdapat di HPPC.
BESUT, 19 November - Penubuhan Hab Pemprosesan dan Pengembangan Cendawan (HPPC) di Tempinis, Besut  yang pertama di negara ini mampu membantu menjana pendapatan pengusaha cendawan, selain mengelak berlakunya lambakan tumbuhan itu di pasaran.

HPPC berupaya menghasilkan pelbagai produk hiliran berasaskan cendawan segar dan cendawan kering, termasuk murtabak, sos, karipap, bebola, burger, perencah masakan dan yang terbaru satar dan keropok cendawan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, apa yang dilaksanakan melalui kerjasama Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar & Perubahan Iklim (Mestecc) itu merupakan  projek perintis dan menjadi satu contoh pertanian menuju ke arah inovasi dan teknologi moden.

Oleh itu, katanya, kerajaan berharap pengusaha cendawan di negeri ini memanfaatkan peluang yang ada dengan menambah jumlah tanaman dan mempelbagaikan produk hiliran.


“Mereka boleh menghantar cendawan segar ke HPPC untuk diproses dan dikeringkan yang bertujuan memanjangkan ketahanan tumbuhan itu kepada setahun berbanding seminggu seperti sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian dan Penyerahan HPPC di Tempinis, Besut, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Pertanian Negeri Terengganu, Zulkefly Harun dan  Timbalan Ketua Setiausaha Sains Teknologi dan Inovasi Mestecc, Prof Madya Dr Ramzah Dambul.

Berdasarkan rekod, hampir 230,000 kilogram cendawan segar dengan nilaian kira-kira RM1.3 juta mampu dihasilkan 39 pengusaha aktif di negeri ini sepanjang Januari sehingga Oktober lalu.


Dr Azman turut memberitahu, mereka dibantu kerajaan melalui Program Pembangunan Ladang Organik dengan suntikan peruntukan sebanyak RM496,799 bagi tempoh 2014 sehingga 2018.

“Peruntukan bagi tujuan sama akan diteruskan  kerajaan di bawah  kepimpinan PAS dengan jangkaan modal suntikan lebih tinggi.

“Perkara itu akan diumumkan Menteri Besar dalam pembentangan  Belanjawan Negeri 2019 akhir bulan ini,” katanya.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: