Tuesday, 6 November 2018

Terengganu Tanggung RM10 Juta Kos Pengurusan Taska Permata

SHARE
Pendidikan adalah pelaburan bagi melahirkan generasi Islam yang kompeten pada masa depan.
KUALA TERENGGANU, 6 November - Kerajaan Terengganu telah menanggung kos pengurusan Taska Permata sebanyak RM10 juta setahun ataupun 50% daripada keseluruhan kos perbelanjaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia Sukan dan NGO negeri, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, ia tidak termasuk kos pembaikan, penyelenggaraan bangunan taska dan peralatan serta permainan kanak-kanak.

“Kerajaan (negeri) mementingkan kecemerlangan rakyat termasuklah pendidikan awal kanak-kanak di negeri ini.

“Pelaburan mesti dibuat bagi mendapatkan pulangan dalam bentuk modal insan yang cemerlang duniawi dan ukrawi,” tegasnya.


Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Hafaz Muqaddam dan Graduasi Kanak-kanak Taska Permata Keluarga Parlimen Kuala Terengganu 2018 di Dewan Besar Wisma Darul Iman, semalam.

Dengan itu, katanya, generasi Islam yang berilmu, berakhlak dan bersahsiah ini diharapkan akan menyumbang kepada keharmonian dan kesejahteraan Terengganu pada masa akan datang.

Sehubungan itu, beliau percaya kurikulum yang bersepadu dan seimbang mampu menggilap dan meningkatkan potensi kanak-kanak.

“Terapkan nilai-nilai kerohanian dan sahsiah diri anak-anak kita di awal usia ini. Anak-anak yang mempunyai ciri-ciri yang soleh, pintar dan cemerlang ini sudah tentu didambakan oleh seluruh ibu bapa.

“Hari ini Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) yang mempunyai 66 buah Taska Permata di seluruh negeri merupakan satu-satunya agensi kerajaan negeri yang terbesar di dalam negara ini yang melaksanakan perkhidmatan taska anak-anak berumur 4 tahun ke bawah,” ujarnya.

Justeru, dengan penubuhan Taska-taska Permata YPK ini, ia memberi ruang kepada kanak-kanak di rumah, bagi memperolehi suatu bentuk asuhan dan pendidikan kanak-kanak yang formal, seimbang dan juga menyeronokkan melalui pusat-pusat berdaftar.





SHARE

Author: verified_user

0 komen: