Saturday, 17 November 2018

Terengganu Sedia Perkasa Bahasa Inggeris

SHARE
'Lexicon Fiesta' sajikan pelbagai acara.
Oleh: Safwan Syakir

KUALA NERUS, 17 November - Dalam mengejar era globalisasi ini, penguasaan bahasa Inggeris khususnya bagi mahasiswa perlu diberi perhatian serius dalam usaha melahirkan graduan yang berkualiti tinggi dan berdaya saing.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan Dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak berkata, kerajaan negeri menyokong penuh hasrat bagi meningkatkan kemahiran penguasaan bahasa Inggeris di kalangan mahasiswa dengan memberi peruntukan yang sewajarnya untuk program sebegini.

"Kemahiran berbahasa Inggeris menjadi syarat utama bagi sesetengah industri.

"Oleh itu, mahasiswa harus bersedia dengan kemahiran itu sebelum menghadiri temuduga untuk membina karier mereka di masa hadapan.

Dr. Alias galak aplikasi bahasa Inggeris di luar kelas.
"Mahasiswa tidak boleh berhenti belajar bahasa Inggeris setakat dalam kelas sahaja. Mereka mesti mengaplikasikan bahasa tersebut di luar kelas juga," katanya ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup 'Lexicon Fiesta' di Kolej Kediaman Sheikh Abdul Malek, Kampus Utama Universiti Malaysia Terengganu (UMT), kelmarin.

Karnival anjuran pengurusan Kolej Kediaman dengan kerjasama Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) serta Pusat Pembelajaran Bahasa Inggeris itu mendapat sambutan hangat mahasiswa dalam acara yang dipertandingkan iaitu pengucapan awam, pencarian bakat kolej dan debat.

Dr. Alias merakamkan ucapan tahniah kepada penganjur dan berharap program seumpama itu dapat diteruskan setiap tahun bagi menggalakkan lebih ramai lagi penyertaan mahasiswa dalam pelbagai acara bermanfaat.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor UMT (Bahagian HEPA), Dr. Che Mohd Ruzaidi Ghazali.



SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: