Tuesday, 20 November 2018

Terengganu Sambut 55 Bayi Maulidur Rasul

SHARE
Dr Ahmad Samsuri memangku bayi Maulidur Rasul sempena Sambutan Maulidur Rasul hari ini.
KUALA TERENGGANU, 20 November - Seramai 55 bayi Maulidur Rasul dilahirkan di seluruh Negeri Terengganu, membabitkan masing-masing 30 bayi lelaki dan 25 bayi perempuan bermula pada jam 7.00 malam tadi hingga 3:30 petang hari ini.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerajaan negeri turut bersyukur dan mengucapkan tahniah kepada ibu-ibu yang melahirkan anak.

Katanya, ianya sedikit sebanyak menggambarkan demografi yang ada dalam negeri.

"Di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) sendiri mencatat kelahiran tertinggi seramai 36 bayi membabitkan 19 lelaki dan 17 perempuan, Kemaman 12 orang, Besut 4 orang, Dungun 2 orang dan Setiu seorang.

"Kita mengambil peluang ini sempena menyambut tarikh kelahiran Rasulullah SAW dengan kesyukuran ke hadrat Allah SWT. Moga-moga bayi yang dilahirkan serta keluarga berada dalam keadaan sihat," ujarnya.


Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Program "Permata Maulidur Rasul 1440H/ 2018M" Peringkat Negeri Terengganu di Pusat Rawatan Ibu dan Bayi, HSNZ, Kuala Terengganu, hari ini.

Dalam tumpuan lain, Dr Samsuri memberitahu, kerajaan negeri akan meneruskan insentif sedia ada iaitu memberi sagu hati sebanyak RM100 bagi setiap kelahiran bayi di Terengganu di bawah Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i).


Turut hadir meraikan sambutan bayi Maulidur Rasul ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' A. Rahman Yahya, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri, Dr Alias Razak, Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran Negeri, Datuk Tengku Hassan Tengku Omar dan Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Haji Mohammad Jusoh serta isteri dif-dif kehormat.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: