Sunday, 4 November 2018

Terengganu Perluas Dakwah Bawa Daurah Kitab Bersanad

SHARE
Syeikh Dr Muhammad Muti' Al-Hafiz. Foto - M. Shukri
KUALA TERENGGANU, 4 November - Kerajaan Terengganu menyokong usaha mana-mana pihak dalam memperluaskan dakwah kepada rakyat Terengganu, antaranya dengan penganjuran Daurah Kitab Bersanad oleh Syeikh Dr Muhammad Muti' Al-Hafiz pada kali ini.

Penterjemah program, Ustaz Syed Amni Syed Mohamed berkata, ianya dapat dilihat dalam program anjuran Pertubuhan Sinar Damsyik Malaysia (PERSIDAM) tersebut yang mendapat kerjasama kerajaan negeri di bawah portfolio Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan, Ustaz Mohd Nor Hamzah.

Katanya, program ini bertujuan untuk memberi peluang kepada rakyat Terengganu untuk mengikuti talaqqi kitab bersanad di samping menggalakkan orang ramai menderma kepada dana Syria.


Ditanya tentang latar belakang Syeikh Dr Muhammad Muti', menurutnya, Syeikh merupakan Syeikh al Qurra (Syeikh Qiraat), al Musnid (pakar sanad) al Bahith (penyelidik) al Muarrikh (pakar sejarah) dari Syria.

"Syeikh banyak menyampaikan ceramah-ceramah di pelbagai universiti dan menyertai pelbagai seminar akademik.

"Tambahan pula, beliau dianggap tokoh tertinggi di kalangan pengkaji di Jabatan Mushaf al-Quran dan percetakan di Jabatan Kajian di bawah Pusat Hal Ehwal Islam di Dubai malah mengetuai kerja mencetak dan memeriksa mushaf," jelasnya.

Syed Amni yang juga Pensyarah Kolej Universiti Darul Quran Islamiyyah (KUDQI) berkata demikian kepada pemberita, mengulas tentang program Daurah Kitab Bersanad oleh Syeikh Dr Muhamad Muti’ Al-Hafiz di Dewan Utama, Perpustakaan Awam Negeri Terengganu, semalam.

Seramai kira-kira 100 peserta mengikuti talaqqi kitab اقتضاء العلم العمل bersanad tersebut.


Dalam pada itu, Syeikh Dr Muhamad Muti’ Al-Hafiz menasihatkan supaya beramal dengan ilmu yang dipelajari kerana darjat orang yang menuntut ilmu sangat tinggi di sisi Allah.

"Jadilah kamu orang yang alim, jika tak mampu jadilah penuntut ilmu, jika tak mampu jadilah pendengar, jika tak mampu sayangilah penuntut ilmu dan jangan kamu jadi orang yang rugi, iaitu tiada salah satu pun dari keempat perkara tersebut," pesannya.
SHARE

Author: verified_user

0 komen: