Sunday, 4 November 2018

Terengganu Naib Juara Hoki Piala Tun Abdul Razak

SHARE

KUALA TERENGGANU, 4 November - Pasukan Hoki Terengganu terpaksa akur dinobatkan sebagai naib juara selepas tewas dalam perlawanan akhir menentang Perak menerusi penentuan pukulan penalti 3-1 setelah terikat seri 2-2 dalam perebutan Piala Tun Abdul Razak di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, malam tadi.

Pada aksi berkenaan, Terengganu berada di hadapan hasil gol padang Ameer Aiman Mohd Saberi pada minit ke-14 sebelum Shazrul Imran Nazli menyamakan kedudukan untuk Perak menerusi pukulan sudut penalti, selang beberapa saat kemudian.

Syamiru Aiman Bidin kembali meletakkan Terengganu di depan menerusi gol padang pada minit ke-22 sebelum Muhammad Azrai menyamakan kedudukan untuk Perak hasil gol padang pada minit ke-47.


Dalam pada itu, Jurulatih Pasukan Hoki Terengganu, Chairil Anwar A Aziz @ Musa berkata, walaupun peluang tersedia tidak digunakan sepenuhnya oleh anak-anak buahnya, beliau tetap berpuas hati dengan komitmen dan semangat juang mereka.

"Alhamdulillah, mereka berjuang hingga ke saat akhir. Pemain yang kita turunkan dikuatkan dengan gabungan 5 pemain berpengalaman dan atlet-atlet pasukan hoki Sukan Malaysia (SUKMA), baru-baru ini," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi pemberita, hari ini, mengulas mengenai perlawanan akhir Piala Tun Abdul Razak menentang Perak.

Perak membawa pulang trofi kemenangan dan mengaut hadiah wang tunai berjumlah RM10,000 sebagai juara edisi ke-56 manakala Terengganu terpaksa berpuas hati dengan beroleh RM7,000.





SHARE

Author: verified_user

0 komen: