Wednesday, 28 November 2018

Terengganu Kekalkan Ketenteraman Antara Kaum

SHARE

KUALA TERENGGANU, 28 November - Kerajaan negeri menyokong penuh kenyataan rasmi Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang bertajuk ‘Keharmonian dan Ketenteraman Awam Diutamakan’ susulan  insiden Kuil Sri Maha Mariamman Devasthanam, USJ Subang Jaya, kelmarin.

Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar  berkata, walaupun kejadian ini berlaku di luar Terengganu, namun ia memberi kesan emosi dan psikologi kepada semua rakyat Malaysia yang berbilang bangsa dan agama.

Tambahan pula, pada zaman digital dan teknologi setiap perkara boleh disebarkan dengan pantas melalui media sosial tanpa mengetahui kesahihannya.

"Saya menyeru semua rakyat Terengganu agar bertenang dan kekalkan keharmonian sedia ada. Elakkan membuat provokasi dan menulis komentar negatif di media sosial yang boleh menjejaskan ketenteraman.

"Patuhi arahan pihak keselamatan kerana saya percaya pihak Polis Diraja Malaysia dapat menangani isu ini dengan bijaksana,"katanya dalam saru kenyataan kepada media, hari ini.

Dr Samsuri juga menyeru semua rakyat Terengganu untuk bersama mendoakan mangsa yang tercedera termasuk anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, PB Mohammad Adib bin Mohd Kassim agar cepat sembuh.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: