Monday, 12 November 2018

Terengganu Bina IPT Negeri Pada 2020

SHARE
Usaha telah diambil untuk mengenal pasti lokasi bagi membangunkan  IPT menggantikan Kolej Sultan Zainal Abidin (KUSZA).
KUALA TERENGGANU, 12 November - Kerajaan Terengganu tidak melupakan janji mereka dalam manifesto Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 yang lalu iaitu mewujudkan semula sebuah Institut Pengajian Tinggi (IPT) Islam milik negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Ustaz Satiful Bahri Mamat berkata, ia akan mula dibangunkan pada tahun 2020.

“Buat masa sekarang, kita sibuk untuk menyelaraskan kerja-kerja bagi menyusun tindakan (yang) sepatutnya bagi memperkemaskan pentadbiran pendidikan di negeri Terengganu,” jelasnya.

Beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Anugerah Kecemerlangan Sekolah Menengah Agama Negeri Terengganu Tahun 2018, hari ini.


Sehubungan itu, katanya, usaha telah diambil untuk mengenal pasti lokasi IPT dan membangunkan infrastruktur bagi IPT tersebut yang bakal menggantikan Kolej Sultan Zainal Abidin (KUSZA).

“Insya-Allah kita akan buat, kita perlu kenal pasti tempat dan siapkan dengan infrastruktur.

“IPT (itu akan) diletakkan di bawah (tanggungjawab) Yayasan Terengganu,” tambah beliau.

Terdahulu, KUSZA telah diserahkan kepada Kerajaan Pusat ekoran kemenangan Barisan Nasional (BN) pada tahun 2005 dan dijadikan Universiti Darul Iman.

Setelah menghadapi beberapa masalah ia telah ditukarkan menjadi Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) pada tahun 2010, menjadikan negeri Terengganu tidak lagi memiliki sebuah universiti ataupun kolej.

Namun begitu, Ustaz Satiful berkata, tidak ada sebarang peruntukan bagi tujuan pembinaan IPT itu yang akan dimasukkan dalam bajet 2019.

“Tempat (lokasi IPT) itu tidak boleh diberitahu lagi tapi dalam bajet kali ini tiada lagi diletakkan peruntukan membina IPT tersebut.

“Mungkin tahun depan insya-Allah  kita letak dalam bajet,” ujar beliau.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: