Sunday, 18 November 2018

Terengganu Bangun Makmal Kualiti Madu Pertama Di Pantai Timur

SHARE
Dr. Azman melihat proses ujian menggunakan mesin HPLC.
KUALA NERUS, 18 November - Kerajaan Terengganu menerusi Jabatan Pertanian Negeri bersama Universiti Malaysia Terengganu (UMT) membangunkan makmal untuk menguji ketulenan madu yang dihasilkan termasuk madu yang diternak atau madu yang dikutip daripada lebah liar.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa, Dr. Azman Ibrahim berkata, banyak madu yang dijual di pasaran bukan madu yang tulen bermakna terdapat campuran gula.

"Industri madu adalah tumpuan baru negeri yang boleh menjana ekonomi rakyat dan negeri. Cuma, isunya ialah tahap ketulenan madu yang dihasilkan di pasaran.

"Sebelum ini, kita tidak memiliki satu alat moden untuk mengukur ketulenan produk secara saintifik.

"Alhamdulillah, dengan biaya kerajaan negeri dan disokong kepakaran UMT, kita berjaya wujudkan  makmal ini yang pertama di pantai timur," katanya ketika melawat Makmal Kualiti Madu Pantai Timur di Kampus Utama UMT Gong Badak, hari ini.

Terengganu mampu bangun standard khusus untuk industri madu.
Makmal bernilai RM420,000 itu memiliki mesin High Performance Liquid Chroatograph (HPLC) yang hanya memerlukan 100 gram sampel madu untuk menilai ketulenan kandungannya.

Beliau menjelaskan dengan kemudahan yang ada, proses ujian itu akan dijenamakan sebagai satu standard khusus secara berperingkat.

"Kita akan bermula daripada proses mendapatkan akreditasi sehingga memperoleh satu pensijilan rasmi. Dijangkakan ia akan selesai pada tahun hadapan," katanya.

"Makmal ini akan dibuka kepada pengusaha madu dengan harga yang belum ditentukan dan kami akan memastikan harganya lebih rendah daripada ujian untuk kormesial," katanya.

Industri madu lebah mampu jana ekonomi rakyat dan negeri.
Pengurus makmal, Azmi Ismun menjelaskan, proses ujian mengambil masa 15 hari bekerja daripada peringkat awal sehingga keputusan dikeluarkan.

UMT dijangkakan akan mula menerima sampel pertamanya pada penghujung tahun ini.

Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah Timbalan Dekan (Akademik dan Hal Ehwal Pelajar), Pusat Pengajian Sains dan Teknologi Makanan, Profesor Madya Dr. Shamsul Bahri Abd Razak.








SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: