Sunday, 11 November 2018

Terengganu Angkat Jenama ‘Nisang Jenang’

SHARE
Sulaiman melihat produk Nisang Jenang yang dihasilkan.
Oleh: Aziz Hambali

MARANG, 11 November - Jenang merupakan sebuah kampung tradisional Melayu yang terletak kira-kira 12 kilometer (km) dari Bandar Marang dan 30 km dari Bandaraya Kuala Terengganu serta berada dalam Mukim Jerong, Marang.

Bagi penduduk tempatan, mungkin tiada yang terlalu istimewa mengenai kampung mereka.

Namun,  bagi pelancong luar negeri dan negara, Kampung Jenang menjadi  salah satu destinasi pelancongan yang sentiasa dikunjungi kerana produk tradisi yang dihasilkan penduduknya, antaranya penghasilan ‘Nisang Jenang’ (manisan) yang lebih dikenali sebagai gula nisang atau ‘nisang kerek’.

Pengusaha gula nisang di Kampung Jenang, Azman Husein, 48, atau lebih dikenali sebagai Pak Man meluahkan rasa terharunya dengan sambutan luar jangkaan yang diadakan dalam usaha menaik taraf dan penjenamaan semula gula nisang keluarannya.

Atap nipah juga merupakan produk kampung.
"Sebelum ini, selama bertahun-tahun kami buat nisan belum pernah lagi diadakan majlis besar seperti ini.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada semua atas bantuan yang diberikan untuk menaikkan kembali produk ini. Allah SWT sahaja yang mampu membalasnya,“ luahnya sambil mengesat air mata.

Tambahnya lagi, gula nisang di sini mungkin mendapat tarikan disebabkan keunikan dari segi ramuan dan pembuatannya yang masih kekal secara tradisional menggunakan dapur kayu api dan teknik mengacau secara manual serta diperbuat daripada nira kelapa.

Sementara itu, menurut Pegawai Khas Ahli Parlimen Marang, Haron Yusof ketika ditemui wakil media berkata, beliau menaruh harapan besar agar Nisang Jenang ini setanding dengan jenama Gula Melaka.

"Harapan kita jenama ini akan meningkat naik supaya Jenang memiliki produk  dengan hak cipta tersendiri," katanya ketika ditemui dalam majlis Warisan Tok Nyadat dan Perasmian Bangsal Nisang Pok Man Jenang, semalam.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Timbalan Pengerusi Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: