Wednesday, 7 November 2018

Tangani Segera Masalah Kerosakan Lif Flat PPR Hiliran-ADUN Bandar

SHARE
ADUN Bandar mendengar keluhan beberapa penduduk Flat PPR Hiliran yang terpaksa berhadapan dengan kerosakan lif


Oleh: Syed Abdul Rahman

KUALA TERENGGANU- Kerajaan negeri akan mengambil inisiatif bagi menyelesaikan masalah kerosakan lif yang sering berlaku di Flat Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Padang Hiliran dengan seberapa segera.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)Bandar, Ahmad Shah Mohamed berkata , aduan mengenai kerosakan lif merupakan permasalahan utama penduduk kerana flat ini bukan hanya melibatkan tiga atau empat tingkat, tetapi ianya melibatkan tujuh belas tingkat.

Jelasnya, kerosakan yang sering berlaku pada ketiga-tiga blok rumah pangsa setinggi 17 tingkat tersebut telah menyukarkan kehidupan seharian penduduknya

“Fokus kami ialah mengenai kerosakan lif dan beberapa perkara berkait keselamatan dan seumpamanya.

“Bagi mereka yang berada di tingkat yang paling atas, sekiranya berlaku kerosakan lif, ianya amat menyukarkan terutama bagi  golongan yang uzur, warga emas dan kanak-kanak yang sememangnya memerlukan lif untuk urusan turun dan naik ke flat terutamanya waktu pagi ketika masing-masing sibuk untuk urusan ke sekolah dan tempat kerja,”ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) setelah meninjau keadaan yang berlaku di PPR Flat Hiliran bersama  Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) PPR Hiliran dan ahli jawatankuasanya.



Menurut Ahmad Shah, beliau telah membuat tinjauan ke kawasan perumahan tersebut apabila mandapat aduan dari penduduk.

“Doakan supaya kami dapat menyelesaikan masalah ini dan saya selaku ADUN Bandar bersama-sama rakan-rakan dari MPKK akan berusaha untuk menyelesaikan dan membawa aduan masyarakat kepada pihak yang bertanggungjawab  yang menguruskan Flat PPR Hiliran ini,”katanya.

SHARE

Author: verified_user

0 komen: