Friday, 16 November 2018

Takziah Buat Keluarga Zara

SHARE


KUALA TERENGGANU, 15 November - Pegawai Khas Hal Ehwal Wanita Menteri Besar, Khairiah Mokti menzahirkan rasa sedih dan terkesan dengan tragedi menyayat hati yang mengorbankan nyawa bayi berusia 11 bulan, Nur Muarzara Ulfa Muhammad Zainal, minggu lalu.

Bayi malang yang didera secara fizikal dan seksual oleh suami pengasuhnya disahkan meninggal dunia selepas dua hari dilaporkan tenat sebaik dirujuk ke Hospital Serdang, Jumaat lalu.

"Takziah kepada keluarga dan mudah-mudahan Allah SWT memberi kekuatan kepada ibu bapa anak syurga itu.

"Kita berdoa supaya InsyaAllah penjenayah itu dihukum setimpal dengan kesalahannya dan mampu melunaskan perasaan tak puashati keluarganya dengan hukuman tersebut,"katanya.

Beliau mengulas demikian ketika dihubungi di pejabatnya, di sini.

Khairiah berkata, sekiranya hukuman mati atau hukuman gantung tidak dilaksanakan seolah-olah memberi kebebasan kepada penjenayah dan tidak menerima pengadilan yang setimpal dengan jenayah yang dilakukan itu.

"Apa pula hak keluarga yang menjadi mangsa, apa hak dia, ke mana dia nak lepaskan perasaan dia yang tak puas hati bila orang yang bunuh anaknya bebas begitu sahaja," tegasnya.

Mengulas lanjut, mewakili suara wanita, beliau juga tidak bersetuju hukuman mati dimansuhkan memandangkan jenayah yang dilakukan amat tidak berperikemanusiaan dan menganiaya keluarga terutama ibu mangsa.

Maka katanya, sudah amat wajar undang-undang hudud dilaksanakan
kerana tiada undang - undang lain yang mampu menangani permasalahan masyarakat yang sedang 'sakit' ini.

"Setiap apa yang Allah jadikan itu ada hikmahnya dan mungkin kejadian ini  membuka mata ramai lagi ibu di luar sana untuk berhati-hati dan mereka kena yakin bahawa undang-undang Islam sahaja mampu menyelamatkan wanita di dunia dan juga di akhirat.

"Kalau tidak beramal dengan undang-undang Islam wanita dan kanak-kanak ini biasanya akan tertindas akan didiskriminasi, " ujar beliau lagi.

Tambahnya, apabila dijalankan undang-undang Islam maruah dan kehidupan wanita akan terbela daripada dunia hingga  ke akhirat.

Khairiah turut mempersoalkan kenapa sekolah tahfiz disarankan ditutup.
Malah, apa bezanya Sekolah Tahfiz dengan sekolah Cina.

"Tapi kenapa kita sekarang ini nak mengatakan Islam zalim sedangkan pada masa yang sama di sekolah Cina baru-baru ini juga berlaku pergaduhan sampai mati di kawasan sekolah," kata beliau.

Menurutnya lagi, setiap perancangan yang baik oleh Kerajaan Pusat dan kepimpinan akan disokong, bagaimanapun jika melaksanakan perkara yang tidak baik dan melanggar peradaban manusia serta agama maka akan ditentang.

Ulas beliau lagi, setiap apa yang Allah SWT jadikan itu ada hikmahnya dan mungkin kejadian itu (kes Zara) akan membuka mata ramai ibu supaya lebih berhati-hati dan perlu yakin bahawa undang-undang Islam sahaja mampu menyelamatkan wanita di dunia dan juga di akhirat.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: