Saturday, 17 November 2018

Sultan Mizan Berangkat Ke Majlis Santapan Malam UniSZA

SHARE
Sultan Mizan (tengah) mencemar duli, berangkat ke Majlis Santapan Malam UniSZA di Primula Beach Hotel Kuala Terengganu semalam. 

KUALA TERENGGANU,  17 November - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah dan Sultanah Nur Zahirah mencemar duli berangkat menghadiri Majlis Santapan Malam anjuran Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di Primula Beach Hotel di sini semalam. 

Sultanah Nur Zahirah berkenan menyampaikan Anugerah Pelajaran Diraja kepada dua pelajar UniSZA termasuk Muhammad Amir Zainuddin dan Ong Yin Qian di majlis tersebut.

Kedua-dua pelajar berkenaan masing-masing menerima wang tunai berjumlah RM7,500 beserta sijil dan pingat bersadur emas,  sumbangan dari Lembaga Kumpulan Wang Biasiswa Pengajian Tinggi Raja-raja dan Yang di-Pertua-Yang di-Pertua Negeri. 

Sultanah Nur Zahirah turut berkenan menerima tiga sumbangan wakaf bagi pihak UniSZA termasuk Wakaf Tanah Majlis Daerah Besut (MDB), Wakaf Peralatan Produksi TV dan Wakaf Peralatan Dobi Layan Diri.

Sultanah Nur Zahirah (dua dari kiri ) berkenan menyampaikan Anugerah Diraja kepada Muhamad Amir (tiga dari kanan).
Penyumbang ketiga-tiga wakaf tersebut masing-masing terdiri dari MDB,  Karya Bestari Sdn Bhd dan Warga Pelajar UniSZA dan Pejabat Wakaf dan Infaq. 

Turut hadir Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri,  Haji Yahaya Ali dan Isteri, Hajah Zarani Othman, Setiausaha Kerajaan Negeri,  Dato' Ab Rahman Yahya dan Naib Canselor UniSZA, Prof Dato' Dr Ahmad Zubaidi A Latif. 

Sementara itu,  Pengarah Pejabat Wakaf dan Infaq UniSZA , Prof Dr Ahmad Azrin Adnan dalam satu kenyataan media berkata,  tanah yang diwakafkan oleh MDB dirancang untuk dibangunkan rumah kediaman yang disasarkan kepada warga Kampus Besut dan komuniti.

Sultanah Nur Zahirah berkenan menerima sumbangan Wakaf Peralatan TV UniSZA.
"Hasil penjualan manfaat ini akan diagihkan bersama UniSZA dan MDB. 

"Jawatankuasa Pembangunan Tanah MDB yang dipengerusikan oleh Naib Canselor UniSZA akan dibentuk bagi mengawal selia inisiatif ini," jelasnya. 

Menurutnya,  dalam usaha melahirkan bakat patuh syariah dalam bidang penyiaran,  Pusat Seni dan Warisan (PSW), Unit Media Kreatif Pusat Teknologi Maklumat ( PTM) dan Bahasa dan Komunikasi (FBK)  berkolaborasi membangunkan Pusat Produksi TV. 

"Pusat ini bakal dijadikan makmal bagi dua program Ijazah Sarjana Muda di bawah FBK yang memfokuskan media dan komunikasi, " ujarnya. 

Dalam pada itu Dr Ahmad Azrin berkata,  keperluan mewujudkan Dobi Layan Diri diperoleh daripada maklum balas pelajar. 

"Untuk itu, Pejabat TNC HEPA telah menggerakkan inisiatif mengumpul RM5 bagi setiap pelajar.

"Dengan bilangan 10,000 orang pelajar,  sebanyak RM50,000 diperoleh. 

"Sementara Pejabat Wakaf dan Infaq pula menyumbang RM50,000," jelas beliau lagi. 

Jumlah keseluruhan RM100,000 ini katanya,  akan membolehkan fasiliti itu diwujudkan. 

Menurut beliau keuntungan bersih yang diperoleh akan diagihkan kepada persatuan pelajar,  pelajar B40 dalam bentuk kupon makanan,  kos penyelengaraan dan tabung wakaf UniSZA. 

Selain itu katanya,  peralatan yang di peroleh menerusi mekanisme wakaf itu membantu pengguna menggerakkan tetikus komputer dengan hanya mengerakkan matanya. 

Pengguna pertama merupakan pelajar Orang Kurang Upaya (0KU) UniSZA yang mengalami kesukaran menggerakkan tangannya. 

SHARE

Penulis: verified_user


0 komen: