Wednesday, 7 November 2018

Sukarelawan Banjir Akan Digerakkan Dalam Masa Terdekat

SHARE
Ustaz Wan Sukairi ketika menyampaikan tazkirah Bicara Nurani Warga Kerja di Dewan Teater, Wisma Darul Iman, hari ini.  
KUALA TERENGGANU, 7 November - Sukarelawan banjir peringkat negeri yang terdiri daripada gabungan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) akan digerakkan dalam masa terdekat bagi menghadapi kemungkinan banjir di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sukan, Belia dan NGO negeri, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pihaknya bercadang untuk mengumumkan nama sukarelawan itu pada majlis pelancarannya awal Disember ini.

“Kita akan melancarkannya (sukarelawan banjir) pada awal Disember ini serentak dengan namanya dan diharapkan dengan adanya sukarelawan ini sedikit sebanyak dapat melicinkan gerak kerja membantu, memindah dan menyelamat mangsa-mangsa banjir.

“Saya juga mengharapkan belia kita terutamanya persatuan-persatuan belia seluruh negeri dapat bersiap sedia memberikan khidmat sosial termasuk sebarang bantuan dan pertolongan apabila diperlukan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan tazkirah sempena Bicara Nurani Warga Kerja di Dewan Teater, Wisma Darul Iman, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) Ustaz Kamaruzzaman Abdullah.

Katanya, buat masa ini segala perbincangan, kursus dan perjumpaan dari semasa ke semasa telah diadakan dengan kumpulan terbabit bagi menyelaras gerak kerja banjir agar lebih efisyen dan bersistematik.

“Kita juga mendapat kerjasama yang baik dari NGO yang turut serta melakukan persiapan yang sama untuk membantu agensi-agensi kerajaan menghadapi musim banjir ini.

“Mereka telah bersiap sedia termasuk dari segi latihan. Taklimat juga telah diadakan dan kita juga sentiasa berhubung untuk menyelaraskan semua gerak kerja membantu, menyelamat dan juga memberikan bantuan sekiranya banjir melanda negeri ini,” ujarnya.


SHARE

Author: verified_user

0 komen: