Monday, 12 November 2018

SRIDI Tawar Yuran Serendah RM130 Setahun

SHARE
Lothman Awang.
KUALA TERENGGANU, 12 November - Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI), milik Kerajaan Negeri Terengganu yang bakal dibuka tahun hadapan menawarkan yuran pendaftaran serendah RM130 setahun kepada pelajar sepanjang tahun persekolahan.

Ketua Penolong Pesuruhjaya (Pendidikan) Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Lothman Awang berkata, tidak seperti sekolah swasta yang lain, SRIDI hanya mengenakan yuran pendaftaran tahunan tanpa kos pengurusan bulanan.

“SRIDI hanya menetapkan yuran makanan pelajar dengan jumlah maksimum RM160 sebulan. Untuk peringkat awal, kita tidak menyediakan kafetaria. Jadi, pihak sekolah akan menyediakan makanan sepanjang sesi persekolahan dari jam lapan pagi hingga empat petang yang mana ia lebih efektif untuk pembelajaran di sekolah.

“Tetapi, jumlah itu bukan bayaran tetap sebaliknya bergantung kepada jumlah hari persekolahan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui dalam Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang JHEAT baru-baru ini (8 November).

Untuk tahun 2019, sebanyak lima buah SRIDI akan dibuka di daerah Marang, Dungun, Besut, Hulu Terengganu dan Kuala Nerus dengan jumlah 50 pelajar bagi peringkat awal.

Manakala, Sekolah Rendah Islam Yayasan Islam Terengganu di Losong akan diambil alih JHEAT sebagai SRIDI bagi daerah Kuala Terengganu.


“Kita dapat permintaan tinggi daripada ibu bapa untuk anak-anak mereka. Bagaimanapun, kita akan mengadakan temuduga kerana tempat yang terhad bagi memberi keadilan kepada semua.

“SRIDI akan mengguna pakai silibus Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ditambah dengan kurikulum negeri yang berasaskan pengajaran agama dan al-Quran dalam bahasa Arab,” katanya.

Sekolah itu akan memulakan operasi bermula sesi persekolahan 2019 dengan jumlah 40 orang guru.

“Pengambilan guru telah diproses berdasarkan permohonan yang telah dibuka sebelum ini dan akan dimaklumkan pada bulan Disember,” katanya.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: