KUALA NERUS, 21 November - Sekolah Menengah Agama (Atas) Sultan Zainal
Abidin (SMAASZA) Kuala Terengganu, muncul sekolah terbaik dan bertaraf dunia di
Pertunjukan Reka Cipta Antarabangsa (International Invention Show-INOVA) Ke 43
di Zagreb Fair, Croatia baru-baru ini.
SMAASZA mendapat lima anugerah kecemerlangan termasuk anugerah
terbesar iaitu Rekacipta Terbaik Asia (Best Invention Of Asia) untuk produk P' Amary
di samping satu pingat emas, masing-masing untuk produk 'P' Amary' dan 'Smart
Eazer'.
Kedua-dua produk tersebut juga menerima Anugerah Istimewa (Special
Award) dari World Invention Intellectual Property Association (WIIPA) dan JSC
NIIAS, Russian Railways.
Serentak itu, Kerajaan Terengganu mengucapkan setinggi-tinggi
tahniah atas kejayaan cemerlang yang dicapai oleh pelajar dan guru sekolah
tersebut.
![]() |
"Tahniah atas pencapaian cemerlang warga SMAASZA," - Dato' Tengku Hassan. |
Ucapan berkenaan telah disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian,
Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran Negeri, Dato' Tengku
Hassan Tengku Omar ketika menyambut kepulangan rombongan sekolah tersebut di
Lapangan Terbang Sultan Mahmud di sini semalam.
Mereka terdiri dari tiga pelajar
termasuk Ahmad
Fakhrul Ismail, 16, Ahmad Aliuddin Zulkifli, 16 dan Wan Wadhihah Nadhirah
Faisal, 13, serta dua guru pengiring termasuk Saripah Embong dan Zawiah Dollah.
Turut menyambut ketibaan mereka ialah Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah dan Pengajian Tinggi, Ustaz Maliaman Kassim dan Pengarah Pendidikan Negeri, Haji Safruddin Haji Ali Hussin.
![]() |
Dato' Tengku Hassan (dua dari kiri) dan Haji Safruddin menyambut ketibaan anggota rombongan SMAASZA di Lapangan Terbang Sultan Mahmud Kuala Nerus semalam. |
Menceritakan lebih lanjut latar
belakang kejayaan sekolah berkenaan Dato' Tengku Hassan berkata, kisahnya
bermula apabila guru dan pelajar berkenaan berhasrat untuk menyertai
pertandingan INOVA yang disifatkan sebagai bertaraf dunia itu.
"Saya telah sampaikan hasrat
mereka untuk menyertai pertandingan tersebut dengan pembiayaan kerajaan negeri
kepada Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
"Lalu Menteri Besar terus
segera meluluskan satu peruntukan khas untuk mereka ke sana," jelasnya.
Beliau yang juga Ahli Dewan
Undangan Negeri (ADUN) Ladang berkata, sebelum ini, mereka telah banyak menyertai
pertandingan dalam negeri tetapi keperluan mereka tidak dimaklumkan kepada
kerajaan.
![]() |
Tiga pelajar SMAASZA menunjukkan anugerah antarabangsa di pertandingan INOVA di Zagreb, Croatia. |
Apabila dimaklumkan tambahnya,
kerajaan segera menyediakan peruntukan kewangan bagi membolehkan rombongan
sekolah tersebut di hantar ke Zagreb, Croatia.
"Mereka ini sebenarnya telah
banyak mendapat anugerah berbentuk pingat emas di banyak pertandingan di dalam
dan di luar negara sebelum daripada ini.
"Jadi kerajaan amat berbesar
hati untuk membantu mereka agar kecemerlangan itu lebih bersemarak lagi dan
memberi impak yang baik kepada negara dan negeri Terengganu sendiri," ujarnya.
Sementara itu berhubung dengan dua
produk dipertandingkan itu, beliau menjelaskan bahawa 'P' Amary' merupakan
produk kesihatan berasaskan minyak sawit untuk merawat penyakit kulit, anti
bakteria, kulat dan penghalau serangga.
Manakala Smart Eazer pula merupakan
produk pencuci, boleh digunakan untuk mencuci pakaian dan sebagainya.
"Kedua-dua produk ini
merupakan produk yang cukup baik dan insya-Allah kita (kerajaan) akan mengadakan
perbincangan untuk membolehkan produk tersebut di'patten'kan sekaligus
dikomersialkan," jelasnya lagi.
0 komen: