Tuesday, 13 November 2018

SMA Terengganu Perlu Diperkasa

SHARE
Ustaz Satiful Bahri Mamat beramah mesra dengan penerima Anugerah Kecemerlangan Sekolah Menengah Agama Terengganu.
Oleh: Muhd Lukman

KUALA TERENGGANU, 13 November - Para guru perlu memainkan peranan penting dalam memperkasakan Sekolah Menengah Agama di negeri Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Ustaz Satiful Bahri Mamat berkata, peranan guru amat penting dan sejajar dengan peningkatan dan pencapaian Sekolah Menengah Agama hari ini.

"Para guru mestilah mempertingkatkan kemahiran bukan hanya dari segi penguasaan bahasa malah teknik pengajaran bagi melahirkan pelajar yang lebih kompeten dan kompetitif.

"Mereka juga mestilah sanggup menghadapi cabaran baru dalam dunia pendidikan yang sentiasa berubah dan semakin mencabar dalam membina diri dan menguasai bidang ilmu seterusnya melahirkan bangsa melayu Islam yang maju sepanjang zaman," katanya.

Menurutnya, para guru juga harus menepis tohmahan negatif daripada masyarakat.

"Hasrat kita supaya mereka yang terlibat dalam bidang pendidikan khususnya bidang agama supaya dapat terus menangkis usaha luar untuk berfikir secara negatif terhadap golongan agamawan.


Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Anugerah Kecemerlangan Sekolah Menengah Agama Terengganu bertempat di Dewan Auditorium Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu, semalam.

Ustaz Satiful Bahri Mamat yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka turut mengingatkan kreativiti dan inovasi dalam kalangan urustadbir sekolah dan guru-guru perlu disemai.

"Elemen kreativiti dan inovasi ini penting dalam mengiktiraf kemampuan berfikir untuk melahirkan insan cemerlang dan bersahsiah mulia.

Beliau juga berharap pihak sekolah sentiasa bekerja keras dan mempersiapkan diri untuk terus mencipta kejayaan dalam bidang akademik dan kokurikulum malahan dalam semua bidang yang melonjakkan nama Sekolah Menengah Agama di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.

Beliau turut merakamkan ucapan tahniah serta menyampaikan hadiah kepada pihak sekolah, guru-guru dan para pelajar yang memenangi anugerah.


Johan keseluruhan Pertandingan Pengurusan Iklim Sekolah Menengah Agama (SMA) disandang oleh SMA Setiu yang membawa pulang wang tunai sebanyak RM2000 beserta piala.

Manakala naib johan dimenangi oleh SMA Mahmudiah dengan wang tunai bernilai RM1,500  dan tempat ketiga diraih oleh SMA Ittifaqiah dengan wang tunai sebanyak RM1,000.

Turut hadir Timbalan Pesuruhjaya Bahagian Hal Ehwal Islam, Mohd Azam Awi, Ketua Penolong Pesuruhjaya Bahagian Pendidikan, Haji Lothman Awang, Pengetua-pengetua Sekolah Menengah Agama, guru-guru dan para pelajar.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: