Wednesday, 7 November 2018

Saluran Air Dibina Atasi Banjir Di Kampung Dendang

SHARE
Kerja-kerja meratakan laluan sebelum diturap sedang rancak dijalankan selain pembinaan saliran air di kawasan terlibat.

Oleh : Adli Mohamad

DUNGUN, 7 November- Kerajaan negeri akan membina saluran air untuk menyelesaikan masalah banjir yang sering membelenggu penduduk di Kampung (Kg) Dendang, Bukit Besi, di sini, saban tahun apabila tibanya musim tengkujuh.

Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, masalah yang sudah lama dihadapi itu akan diatasi segera dengan pembinaan kemudahan yang menelan kos kira-kira RM10,000 bagi mengelak air tersekat dan penyebab banjir.

"Kerajaan negeri akan menyelesaikan masalah penduduk dan kecaknaan kerajaan untuk mensejahterakan serta memberi keselesaaan kepada rakyat tidak boleh dipandang mudah.

"Kita akan mendapat peruntukan dari Majlis Daerah Dungun untuk disalurkan kepada DUN bagi membuat saluran air keluar, kerana setiap kali hujan air akan bertakung serta menenggelamkan rumah penduduk di sini,"katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika meninjau projek berkenaan, di Kg Dendang, kelmarin.
Ghazali meninjau kerja-kerja membersih dan meratakan jalan laluan di Kampung Dendang, kelmarin.

Ghazali berkata, selain pembinaan saluran itu, pihaknya juga akan menurap jalan tar di kawasan itu untuk keselesaan penduduk sekitar.

Menurutnya, walaupun kos bagi menyediakan kemudahan itu hanya sekitar RM10,000 dan dikategorikan sebagai projek kecil, tetapi manfaatnya begitu besar kepada penduduk.

"Lebih-lebih lagi dalam keadaan musim hujan yang tidak menentu ini, pastinya dapat menghilangkan kegusaran penduduk di sini. Selama ini ianya begitu menyusahkan penduduk, apatah lagi mereka perlu memakir kereta jauh dari kediaman kerana masalah kawasan kediaman yang ditenggelami air apabila hujan lebat.

"Kita harapkan agar projek ini akan menjadi bukti bahawa kerajaan serius menyelesaikan masalah rakyat dan sebagai persediaan menghadapi musim tengkujuh yang boleh menyebabkan bencana banjir," kata beliau lagi.
SHARE

Author: verified_user

0 komen: