Monday, 5 November 2018

Rumah Empat Sekeluarga Ranap Ditimpa Pokok

SHARE


Oleh: Abdul Hafiz Ghazali

KEMAMAN, 4 November - Empat sekeluarga menghadapi detik cemas apabila kediaman mereka dihempap pokok ketika hujan lebat serta angin kencang melanda Kampung Kubang Kurus, Chukai, di sini Jumaat lalu.

Mangsa, Ismail Ibrahim, 57, berkata ketika kejadian kira-kira jam 5 petang, cuaca hujan lebat serta angin kencang, dia dan dua anaknya Noor Ismallyana Nadhierah, 24, dan Muhammad Ismasyafiq, 17, berada di ruang tamu, manakala isterinya, Roslina Idris, 68, berada di dapur sedang memasak.









Katanya, tiba-tiba terdengar satu dentuman yang kuat, menyebabkan isterinya bergegas berlari ke ruang tamu.

"Setelah memeriksa di luar kediaman, saya dapati sebatang pokok mempelam telah tumbang ke atas atap kediaman menyebabkan kesemua atap dan sebahagian dapur rosak teruk. Air mencurah-curah memasuki dalam rumah apabila hujan," katanya lagi.

Menurut Ismail, biarpun sebahagian rumah rosak, mereka sekeluarga terpaksa terus berada di rumah itu sehinggalah mereka mendapat bantuan untuk membersihkan kawasan itu serta memulihkan kerosakan rumahnya.

Pun begitu, dia tetap bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa dalam kejadian pertama kali itu.




Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kubang Kurus, Nor Azam Ismail, berkata susulan insiden itu, pihaknya melaporkan kejadian kepada Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) untuk diambil tindakan segera.

Katanya, kerja-kerja memotong pokok tumbang dilakukan sekumpulan petugas Flying Squad MPK, semalam.

Manakala, Penyelia Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) DUN Chukai, Dr Megat Suhaimi Megat Idrus turut mengunjungi kawasan kejadian dan menyampaikan sedikit sumbangan bagi meringankan beban mangsa.


Turut Hadir, Penolong Pegawai Teknologi Maklumat/Mulitmedia  dan Media Baharu i-MiTS Muhammad Azizi Zakaria, Pembantu Penyelia Hal Ehwal Masyarakat i-MiTS, Ahmad Khairuddin Mohd Zaki, dan Pembantu Penyelia Hal Ehwal Belia i-MiTS, Hamka Hashim.

Khairuddin memberitahu, pihaknya akan membantu menyemak dan memproses maklumat untuk  memohon menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi tujuan membaik pulih rumah berkenaan.
SHARE

Author: verified_user

0 komen: