Sunday, 25 November 2018

Bajet 2019 : RM2.015 Bilion 'Bajet Berimbang'

SHARE
Dr Ahmad Samsuri Mokhtar semasa membentangkan Bajet Terengganu 2019 hari ini.
KUALA TERENGGANU, 25 November - Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerajaan akan memperuntukkan sejumlah RM2.015 bilion tahun depan sebagai 'bajet berimbang' melebihi RM1.996 bilion tahun sebelum ini bagi melaksanakan teras serta strategi Bajet Terengganu yang ditetapkan.

"Bagi tahun depan kita menjangkakan akan memperoleh hasil berjumlah RM2.015 bilion menjadikan bujet tahun 2019 merupakan bajet berimbang.

"Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM66.93 juta merupakan Hasil Cukai, RM203.53 juta adalah Hasil Bukan Cukai dan RM1.745 bilion merupakan Terimaan Bukan Hasil," katanya ketika membentang Enakmen Perbekalan 2019 (Bajet Negeri Terengganu 2019) dalam Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu Ke 14 di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Katanya, secara perinciannya, kerajaan negeri mencadangkan peruntukan sebanyak RM2.015 bilion untuk Perbelanjaan Mengurus.

"Kerajaan akan memperuntukkan sejumlah RM2.015 bilion tahun depan sebagai Bajet Berimbang."- Dr Ahmad Samsuri.
Daripada jumlah tersebut kata beliau sebanyak RM600 juta akan dicarumkan kepada Kumpulan Wang Pembangunan untuk Perbelanjaan Pembangunan.

"Ia termasuk RM186.2 juta untuk projek bayaran tertangguh (deferred payment) dan bayaran berjadual (scheduled payment). Kerajaan negeri juga memperuntukkan sebanyak RM1.8 juta kepada Kumpulan Wang Bekalan Air," jelas beliau.

Dr Ahmad Samsuri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang berkata, di bawah peruntukan Perbelanjaan Mengurus, sebanyak RM86.025 juta atau 4.27 peratus akan diperuntukkan bagi Perbelanjaan Tanggungan sebagaimana yang termaktub secara khusus menurut undang-undang, manakala sejumlah RM1.929 bilion atau 95.73 peratus pula diperuntukkan untuk Perbelanjaan Perbekalan.

Barisan Exco Kerajaan Terengganu mengucapkan tahniah kepada Menteri Besar (tengah) atas pembentangan bajet 2019 di DUN Terengganu pagi tadi. 
Menurutnya, di bawah peruntukan Perbelanjaan Bekalan pula, sebanyak RM285.47 juta untuk emolumen, RM197.1 juta untuk Perkhidmatan dan Bekalan, RM24.98 juta untuk Aset, RM1.42 bilion untuk Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap dan RM1.16 juta untuk Perbelanjaan lain-lain.

Beliau berkata, di bawah komponen Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap, sejumlah RM600 juta adalah caruman kepada Kumpulan Wang Pembangunan, RM230 juta diperuntukkan kepada Pihak Berkuasa Tempatan, Badan-badan Berkanun dan Pelbagai agensi.

"Sebanyak RM184 juta diperuntukkan bagi pemberian kepada jabatan-jabatan kerajaan dan RM400 juta pula diperuntukkan bagi pelbagai program di bawah seliaan Pejabat Setiausaha Kerajaan yang akan memberi impak secara langsung kepada rakyat," jelasnya lagi.

Sementara itu Dr Ahmad Samsuri menjelaskan bahawa perancanaan bajet itu disokong oleh empat teras utama termasuk Teras Pertama, Keberkatan, Teras Kedua (Kemajuan), Teras Ketiga (Kebajikan) dan Teras Keempat (Kecekapan).

Sementara teras tersebut akan diperkukuhkan dengan lapan strategi pelaksanaan termasuk, mengukuhkan prinsip Islam, mewujudkan polisi patuh syariah, membangun kualiti modal insan, merancakkan pertumbuhan ekonomi, mengukuhkan insitusi keluarga dan masyarakat, merealisasikan Terengganu sebagai negeri berkebajikan, meningkatkan kecekapan sistem penyampaian dan menerapkan nilai integriti dan ketelusan.
SHARE

Penulis: verified_user


0 komen: