Saturday, 17 November 2018

RM200 Ribu Sasaran Bantuan Kemanusiaan Yaman

SHARE
Ustaz Nasaruddin Othman.
KUALA NERUS, 17 November - Tabung Dana Kemanusiaan Yaman mensasarkan kutipan sebanyak RM200 ribu untuk dihantar ke negara yang sedang dilanda konflik itu pada bulan Disember ini.

Ia adalah ikrar dan muafakat empat badan bukan kerajaan (NGO) bagi membantu mengurangkan penderitaan dan kelaparan yang sedang melanda penduduk di negara itu.

Ahli Jawatankuasa Sekretariat Misi Kemanusiaan Yaman, Ustaz Nasaruddin Othman berkata, setiap NGO yang terlibat mensasarkan kutipan dana sebanyak RM50 ribu.

“Insya-Allah dalam masa terdekat ini kita akan hantar sendiri bantuan yang dikumpulkan dalam setahun ini, kemungkinan besar pada bulan Disember.

“Tapi tarikh belum ditentukan dan jumlah kita sasarkan melebihi RM200 ribu,” katanya yang  juga anggota NGO Yemen Care.


Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Tabung Dana Kemanusiaan Yaman di Sabasun 2, Gong Badak, semalam.

Katanya, sumbangan tersebut adalah untuk membekalkan keperluan hidup yang sangat dibutuhkan mereka. Antaranya adalah makanan asasi, sumber air dan pendidikan di samping ubat-ubatan kerana ada penyakit yang melarat di sana.

“Kita fokuskan juga kepada pendidikan selain makanan dan air bersih khususnya di kawasan pelarian,” ujarnya.

Bekas Presiden Persatuan Pelajar Yaman itu memberitahu, sektor pendidikan menjadi kepentingan yang akan diberi perhatian kepada misi yang dijangka bermula pada hujung Disember.

“Kita lihat pendidikan terkebelakang, kita nak tumpukan pelarian demi masa depan anak anak pelarian itu,” jelasnya.

Justeru itu, beliau menyeru semua pihak yang prihatin agar dapat menyumbang kepada tabung kemanusiaan Yaman melalui NGO yang terbabit seperti Kumpulan Aktivis Media Indipenden (KAMI), Sabasun, Pertubuhan Hawa Harmoni Sejahtera Terengganu (Hanees) dan Iman Care.



SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: