Wednesday, 7 November 2018

Pusat Transit Banjir Buat Pengguna LPT2

SHARE
Ghazali menunjukkan dewan yang dijadikan pusat transit.
Oleh: Adli Mohamad

DUNGUN, 7 November - Pusat transit sementara akan dibuka di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi bagi pengguna Lebuhraya Pantai Timur (LPT)2 laluan Jerangau - Jabor yang terkandas.

Pegawai Penyelaras DUN Bukit Besi, Ghazali Sulaiman memaklumkan pusat transit berkenaan dibuka khas agar pengguna dapat berehat sementara menanti banjir di laluan berkenaan surut.

"Bagi pemandu dari Kuala Lumpur atau Kuantan menuju ke Terengganu keluar melalui Tol Bukit Besi, laluan mereka tidak bermasalah.

"Tetapi, bagi pemandu yang menggunakan jalan lebuhraya Jerangau- Jabor apabila melalui Bukit Besi sahaja akan terkandas.

"Ini kerana, kawasan jalan berhadapan dengan Jabatan Pegangkutan Jalan (JPJ) mudah dinaiki air dan kebiasaannya mengambil masa sekitar enam jam untuk surut dan boleh dilalui," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sewaktu meninjau Pusat Transit Banjir di dewan orang ramai Bukit Besi, kelmarin.

Menurut Ghazali, pusat berkenaan diwujudkan hasil cadangan pihak Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH).

Pusat transit perlu dipastikan dalam keadaan baik untuk kegunaan pengguna.
"Kami melihat ia perlu diwujudkan sebagai kemudahan kepada pengguna LPT2.

"Di pusat ini, mereka boleh berehat atau  menunggu sehingga air mulai surut. Ini kerana, menukar haluan untuk berpatah balik akan memakan masa yang lama terutama jika banyak kenderaan pada waktu itu," katanya.

Beliau turut menasihati agar pengguna jalan raya mengamalkan sikap berhati-hati terutama ketika cuaca tidak menentu.

Dalam pada itu, ketika dihubungi semalam bagi mendapatkan maklum balas mengenai banjir di Bukit Besi, beliau memaklumkan tiada lagi tempat yang dinaiki air dan Pusat Pemindahan Banjir masih belum dibuka.

"Bagaimanapun, kita di peringkat DUN di dalam keadaan bersiap siaga dan setiap Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) akan melaporkan dari semasa ke semasa keadaan kampung yang berpotensi dinaiki air," katanya.

SHARE

Author: verified_user

0 komen: