Saturday, 10 November 2018

Program Sayyidatina Aisyah Sejahterakan Wanita

SHARE
Haji Yahaya berucap merasmikan Program Sayyidatina Aisyah di Padang Astaka Kemaman, semalam.
KEMAMAN, 10 November - Tema Program Sayyidatina Aisyah iaitu 'Wanita Sejahtera Bersama Islam', membawa mesej jelas iaitu untuk memakmur dan mensejahterakan wanita Terengganu. 

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu,  Haji Yahaya Ali berkata,  warga muslimat harus bersama berganding bahu bagi mencapai hasrat kerajaan itu agar mereka berdaya saing,  proaktif dan penuh inisiatif demi martabat dan kesepaduan umat. 

"Hari ini kita dapat lihat,  Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan,  Pembangunan Wanita,  Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri,  Haji Hanafiah Mat,  menyediakan pelbagai kemudahan dan bantuan segera sepanjang dua hari program Sayyidatina Aisyah di Perkarangan Padang Astaka ini. 

"Pelbagai jabatan dan agensi yang rata-rata berpayung di bawah jawatankuasa beliau telah diminta untuk turut serta dalam menyediakan khidmat dan bantuan demi menjayakan program ini," jelasnya. 

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Sayyidatina Aisyah kali khidmat di Padang Astaka, di sini semalam.

Haji Yahaya (dua dari kanan) menyampaikan hadiah kepada seorang pemenang cabutan bertuah.
Turut hadir,  Haji Hanafiah Mat, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih,  Haji Abdul Razak Ibrahim dan Setiausaha Persatuan Isteri Wakil Rakyat dan Isteri Bekas Wakil Rakyat Terengganu (Khairunnisa'), Hajah Zarani Othman. 

Sementara itu,  Haji Yahaya dimaklumkan bahawa sepanjang program tersebut, pihak Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Terengganu turut menyediakan khidmat pemeriksaan percuma kanser payu dara dan pangkal rahim untuk kemudahan wanita Kemaman mengesan kedua-dua penyakit tersebut. 

"Ini penting kerana kita semua sedia maklum bahawa kanser payu dara dan pangkal rahim merupakan penyakit merbahaya kepada kaum wanita di negara ini. 

"Saya mengharapkan kaum wanita Kemaman merebut peluang menggunakan kemudahan disediakan secara percuma itu demi menjaga kesihatan mereka sekaligus memastikan mereka bebas dari terkena kedua-dua penyakit itu," katanya. 

Katanya, selama dua hari itu, Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK)  juga menyediakan maklumat berkait Pinjaman Jaya Diri (PJD), yang cukup popular di kalangan ibu tunggal dan beliawanis. 

"Alhamdulillah program PJD ini telah melahirkan cukup ramai usahawan wanita yang berjaya di negeri kita," jelas beliau. 

Difahamkan, sejak mula dilaksanakan tahun 1995, hampir 20,000 orang peserta yang majoritinya kaum hawa telah terlibat dengan program PJD itu sekaligus menjana ekonomi keluarga masing-masing. 

Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut memberi khidmat potongan harga sebanyak 50 peratus ke atas beberapa jenis saman sempena program tersebut. 

Pihak Kementerian Kesihatan juga menghantar khidmat pemeriksaan pergigian percuma kepada warga Kemaman. 

Justeru, kerajaan negeri mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua jabatan terlibat yang menyampaikan informasi, khidmat nasihat serta bantuan kepada orang ramai sempena program tersebut. 

"Saya menyeru semua agensi kerajaan di seluruh negeri Terengganu agar sentiasa memudah cara dan bekerjasama antara satu sama lain bagi memastikan setiap inisiatif kerajaan negeri dapat dilaksanakan dengan jayanya tanpa ada sebarang karenah birokrasi," ujarnya. 
SHARE

Author: verified_user


0 komen: