Thursday, 15 November 2018

Penyerapan MPKK Wakil Pusat Tidak Rombak Kepemimpinan Sedia Ada

SHARE
Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. Foto - Tengku Syamim Tengku Ismail
KUALA NERUS, 15 November - Tambahan lima anggota baharu dari Pakatan Harapan (PH) bagi memantapkan lagi fungsi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di negeri ini kelak tidak akan menjejaskan barisan kepemimpinan sedia ada yang telah dilantik.

Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, setiap MPKK dengan 15 anggota kini sudah mempunyai pengerusi dan penyandang jawatan lain yang telah pun berperanan dalam masyarakat setempat.

Katanya, kerajaan negeri masih menunggu senarai nama tambahan anggota baharu daripada PH itu sambil mengharapkan proses itu dapat diselesaikan secepat mungkin tanpa banyak masalah.

"Kita masih lagi menunggu senarai nama (tambahan lima anggota setiap MPKK). Sekarang masih belum selesai lagi, yang asas 15 orang anggota sudah selesai.

"Pengerusi yang sama, begitu juga jawatankuasa sama, cuma nak tambah bilangan anggota baharu. Kalau mereka hantar nama cepat maka cepatlah selesai," katanya ketika ditemui kelmarin.

Beliau diminta mengulas struktur keanggotaan jawatankuasa dalam MPKK berikutan keputusan kerajaan Pusat sebelum ini untuk menambah lima anggota baharu di setiap entiti itu sebelum ini termasuk melibatkan 1,044 MPKK di Terengganu.

Dr. Ahmad Samsuri berkata, proses menyerap anggota tambahan itu perlu disegerakan agar gerak kerja untuk kepentingan masyarakat setempat tidak tergendala.

"Yang sedia ada seramai 15 anggota terdiri daripada pengerusi dan anggota jawatankuasa sedang jalankan tugas mereka, kita tak boleh tunggu siap 20 orang baru kita nak buat kerja," jelasnya.

Ditanya kemungkinan timbul konflik sekiranya berlaku tambahan anggota baharu, beliau berkata, apa yang penting objektif penubuhan MPKK termasuk penambahan anggota baharu adalah bertujuan mewujudkan keharmonian dalam masyarakat setempat.

"Sebab itulah peringkat awal lagi pelantikan 15 orang setelah mengambil kira kedudukan dalam masyarakat, bukan kira parti politik," ujarnya.

Sebelum ini Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah memberitahu, parti-parti dalam PH akan mengadakan rundingan dengan kerajaan negeri dalam waktu terdekat berhubung proses lantikan dan penyerapan dalam MPKK yang dijangka selesai sebelum 1 Januari tahun depan.

Langkah ini akan melibatkan penyerapan 5,220 wakil parti-parti dalam kerajaan Pusat di 1,044 MPKK untuk bersama dengan institusi kepemimpinan di peringkat akar umbi yang berperanan sebagai penghubung masyarakat dengan kerajaan. -UTUSAN ONLINE
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: