Wednesday, 28 November 2018

Bajet 2019 : Penurunan Kadar Kunjungan Ke Tasik Kenyir Bersebab - Ariffin

SHARE
Ariffin (kiri) berucap menggulung perbahasan Enakmen  Perbekalan 2019 di DUN Terengganu semalam.
KUALA TERENGGANU, 28 November - Penurunan kunjungan pelancong ke Tasik Kenyir sebanyak 3.9 peratus tahun ini berbanding tahun lalu berpunca dari empat perkara termasuk Tahun Melawat Terengganu, Bola Sepak Piala Dunia, Pilihan Raya Umum ke 14 dan ketibaan Bulan Ramadhan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Negeri, Ariffin Deraman berkata, data kunjungan itu menurun dikira dari Januari sehingga Oktober, berjumlah 637,309 orang tahun ini berbanding 663,084 orang tahun lalu.

"Ini bererti sejumlah 25,775 orang dengan kadar 3.9 peratus penurunan kehadiran, berlaku tahun ini berbanding tahun lepas.

"Dan inilah faktor utama yang menyebabkan data kunjungan pelancong tahun ini tidak sama dengan data tahun 2017," ujarnya.

Katanya, tahun lalu kerajaan melancarkan Tahun Melawat Terengganu sudah tentu kujungan pelancong ke negeri ini meningkat.

Tahun ini kata beliau, ada Perlawanan Bola Sepak Piala Dunia sudah pasti ramai yeng menumpukan perhatian kepada perlawanan bertaraf antarabangsa itu sekaligus tidak ramai yang keluar rumah pergi melancong. 

Lagi pun katanya, tahun ini negara menghadapi demam PRU14 dan Bulan Ramadhan sudah pasti membataskan pergerakan orang ramai dari mengadakan aktiviti luar rumah termasuk melancong dan sebagainya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung Perbahasan Enakmen Perbekalan 2019 di Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu Ke 14 di Wisma Darul Iman semalam.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alur Limbat menjawab persoalan ADUN Telemong, Dato' Haji Rozi Mamat mengenai kadar berkenaan ketika membahas rang enakmen tersebut kelmarin.

Ariffin berkata, walaupun begitu data kunjungan pelancong ke tasik itu meningkat jika dibandingkan dengan tahun 2016.

"Pada tahun 2016, pengujung ke Tasik Kenyir hanya berjumlah 413,000 orang berbanding tahun ini yang berjumlah 637,309 orang," jelasnya.

Dalam pada itu kerajaan dimaklumkan bahawa penjualan 'House Boat' di Tasik Kenyir mengalami peningkatan sebanyak 10 peratus tahun ini berbanding tahun sebelumnya.

"Ini menunjukkan di Tasik Kenyir masih lagi ada produk-produk pelancongan yang semakin meningkat jualannya berbanding sebelum ini termasuk penjualan House Boat," jelasnya lagi.
SHARE

Penulis: verified_user


0 komen: