Sunday, 4 November 2018

Pelajar Genius Terengganu Paling Ramai

SHARE
Prof Datuk Dr Noriah Mohd Ishak.
Oleh: Aslam Wira

MARANG, 4 November - Terengganu menjadi negeri paling ramai mempunyai pelajar genius malah rekod kecemerlangan itu dilihat konsisten untuk beberapa tahun.

Menurut Pengarah Pusat PERMATApintar Negara, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Noriah Mohd Ishak, daripada data yang dikumpul oleh Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, satu kajian menyatakan Terengganu mempunyai data pelajar pintar yang besar.

“Dalam beberapa tahun Terengganu mendominasi statistik pelajar genius paling ramai dan ia konsisten bagi beberapa tahun kebelakangan ini diikuti oleh Negeri Selangor dan Johor.

“Dari sudut andaian saya, amalan pemakanan mereka yang memakan ikan segar mungkin adalah faktor utama selain daripada genetik dan persekitaran,” katanya ketika berucap di Forum Kenali Anak Pintar di Bilik Syarahan, Pejabat Daerah Marang, semalam.

Program Permata Pintar adalah antara inisiatif yang diperkenalkan oleh PERMATA bagi mengenal pasti dan membangunkan kanak-kanak yang berbakat besar dan semula jadi atau“gifted” dalam pelbagai bidang.

Ini seterusnya akan membantu negara mencapai status maju seiring dengan Revolusi Industri 4.0.

Kolej PERMATApintar Universiti Kebangsaan Malaysia adalah sekolah yang didaftarkan di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia yang menawarkan pendidikan menengah rendah dan menengah tinggi untuk murid pintar dan berbakat seluruh Malaysia.


Kolej ini menggunakan kaedah pengajaran berbeza (differentiated instruction) dan memberi peluang untuk murid mengalami beberapa proses pengajaran khusus seperti pecutan, penggayaan dan mampatan.

Manakala Kolej PERMATAinsan pula diamanahkan kepada Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) merupakan kesinambungan dan perluasan daripda program PERMATA yang telah dilaksanakan sebelum ini.

Program ini merupakan strategi menjana cendekiawan islam dari bakat anak-anak kecil pintar dari seluruh Malaysia seawal usia 8 tahun.

Idea untuk mengadakan forum ini adalah daripada Persatuan Kebajikan Keluarga dan Pelajar Pintar Terengganu (PKKPPT) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu serta Pejabat Daerah Marang.


Sementara itu, memetik ucapan Pengerusi PKKPPT, Mohd Shukri Abd. Rahman, katanya, beliau menyampaikan salam daripada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah selaku Penaung PKKPPT.

Jamuan untuk forum tersebut mendapat tajaan daripada Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang.

Turut hadir ke forum tersebut adalah Timbalan Pengarah Pusat PERMATApintar Negara, Prof Madya Dr Rorlinda Yusof serta Penyelaras Pra Kolej dan Pencarian Bakat Kolej PERMATAInsan, Nor Adlyizan Theis.
SHARE

Author: verified_user

0 komen: