Wednesday, 14 November 2018

Padat Bantu Operasi Mangsa Polis Lemas

SHARE
 
Oleh:Muhd Lukman 
 
DUNGUN, 14 November - Kelab Kebajikan dan Rekreasi Peminat Pacuan Empat Roda Dungun (Padat) menyumbang tenaga bagi membantu pihak keselamatan meneruskan operasi mencari mangsa polis lemas di Sungai Paka, Kampung Baru Penyiram, Durian Mentangau, di sini.
 
Presiden Padat, Wan Mohd Adib Wan Zain berkata, seramai 15 orang sukarela dari kelab itu  berkampung untuk memberikan bantuan semampu yang boleh khususnya dalam penyediaan makanan sejak Sabtu lalu.
 
 "Kita sedia maklum pihak keselamatan memikul tugas berat dalam meneruskan operasi ini. 
 
"Jadi, kita turut sama hadir menyumbang tenaga bagi meringankan beban mereka," ujar beliau ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian semalam.
 
Beliau juga berkata, dana Tabung Padat dikumpul daripada sumbangan ahli untuk membantu mangsa jika berlakunya kecemasan atau bencana. 
 
Mohd Adib berkata, pada mulanya, dana tabung berkenaan bertujuan membantu mangsa banjir, bagaimanapun ekoran kejadian ini, pihaknya memutuskan untuk menggunakan wang terkumpul berkenaan untuk memasak dan menyediakan makanan kepada pihak keselamatan. 
 
Selain Padat, anggota dari Unit Amal Paka, ahli Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Durian Mentangau dan Felda Kerteh Tiga turut membantu dalam operasi ini.
 
 "Alhamdulillah, kita juga mendapat bantuan daripada mereka yang turut bersengkang mata, berpenat lelah serta memberikan kerjasama yang baik dengan pihak keselamatan. 
 
Wan Mohd Adib yang juga merupakan Presiden Terengganu Adventure Group (TAG) turut mengalukan sumbangan orang ramai untuk menampung perbelanjaan mereka dalam menyediakan bahan mentah dan keperluan bagi menyediakan makanan sepanjang operasi ini. 
 
 
Orang ramai yang ingin menyumbang bolehlah menyalurkan bantuan kewangan melalui akaun Maybank Padat 563082118113.
 
Dalam laporan sebelum ini, mayat lelaki yang terbabit dalam kejadian kejar mengejar dengan anggota polis sebelum terjatuh ke dalam Sungai Paka di Kampung Baru Penyiram, Durian Mentangau, Dungun, Jumaat lalu, ditemui lemas kira-kira 400 meter dari tempat dia dilaporkan terjatuh pada 11.50 pagi, 12 November.

Usaha mencari seorang lagi mangsa iaitu anggota polis, Konstabel Wan Mohamad Ariff Wan Yahaya, 28, terus dipergiatkan meliputi jarak lebih 10 kilometer.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: