Tuesday, 20 November 2018

Orang Muda Perlu Jaga Akhlak

SHARE

Oleh: Saifullah Jusoh

BESUT, 20 November - Orang muda perlu sentiasa menjaga akhlak dan tingkah laku dalam melakukan apa jua perkara.

Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut, Haji Azbi Salleh berkata, semangat dan jiwa muda yang sentiasa sukakan cabaran mestilah dikawal dengan sebaiknya.

"Jiwa orang muda semuanya mahu dicuba, tetapi perlu ingat, setiap perkara yang ingin dibuat mestilah berpandukan ajaran agama.

"Hal ini supaya apa yang dibuat itu tidak lari daripada akidah dan akhlak seorang muslim yang sebenar," ujarnya.


Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-3 Kelab Y15ZR Tranung Region di Kem Damai Tanjung Demong, Bukit Keluang, Besut, baru-baru ini (16 November).

"Setiap program ataupun aktiviti yang melibatkan orang muda hendaklah diisi dengan pengisian-pengisian agama bagi memantapkan lagi kefahaman agama dalam diri.

"Mereka juga perlu fokus terhadap isu-isu semasa yang berlaku pada masa kini terutamanya apa yang sedang berlaku di dalam negara kita Malaysia.


"Saya mahu anak muda sentiasa berada di barisan hadapan bagi mempertahankan agama dan bangsa dalam negara kita insya-Allah," katanya.

Majlis itu dihadiri 250 orang pemilik motosikal jenama Yamaha Y15ZR daripada seluruh Negeri Terengganu yang diketuai oleh Ketua Kelab Y15ZR Tranung Region, Hairi Ikman Mohd.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: