Sunday, 11 November 2018

Operasi Cari Mayat Polis Lemas Dipergiat

SHARE



Oleh: Muhd Lukman

DUNGUN, 11 November- Operasi mencari dan menyelamat polis yang lemas ketika mengejar suspek yang diburu polis dalam Sungai Penyiram, Durian Mentangau di sini, semalam, terus dipergiatkan.

Penguasa Bomba Zon Dua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Terengganu, PGB Kasyfi Syahmi Ghazali berkata, operasi hari ini (semalam) melibatkan seramai 67 anggota pelbagai jabatan termasuk pihak polis, Angkatan Pertahanan Awam, JBPM dan penduduk kampung.

"Hari ini kita buat operasi lebih kepada permukaan sungai disebabkan arus terlalu deras dan juga kedalaman sekitar 4 hingga 5 meter.

"Namun pihak penyelamat akan turun menyelam sekiranya ada tanda mayat mangsa di mana - mana kawasan sungai,"katanya ketika ditemui pemberita di sini, semalam.

Kasyfi berkata, operasi akan diteruskan lagi bermula jam 3 petang dengan tambahan bot dan anggota penyelamat.


Menurutnya, setakat tengah hari tadi, pasukan penyelamat hanya menggunakan dua buah bot penyelamat, tetapi 10 buah bot lagi akan turut serta dalam operasi pada waktu petang.

"Kita juga telah pecahkan pasukan kita kepada tiga kawasan menyelamat dan percaya mangsa masih berada sekitar kawasan ini.


"Saya juga meminta bantuan orang kampung untuk memasang pukat merentangi sungai untuk memudahkan operasi menyelamat hari ini, "tambah beliau lagi.

Sementara itu, tinjauan media Urusetia penerangan Darul Iman di lokasi kejadian mendapati keluarga mangsa masih menunggu di bawah khemah khas yang disediakan pasukan keselamatan.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam (9 November) itu, Konstabel Wan Mohd Ariff Wan Yahaya, 28, yang bertugas di Balai Polis Paka dan suspek berusia 39 tahun, dikatakan tergelincir dari tebing sungai itu.

Sebelum kejadian, anggota polis terbabit bersama tiga rakan setugas, Koperal Mohd Sayuti Sani, 35, Koperal Mohd Nor Fazli Ibrahim, 31 dan Konstabel Zazali Omar, 33, sedang dalam operasi memburu suspek.

Suspek dipercayai terbabit dalam kejadian pecah rumah di Kampung Limbong di sini, dan melarikan sebuah kenderaan Perodua Kembara, pada 8 November lalu.

Berikutan itu, empat anggota terbabit dikatakan membuat risikan dan hasil maklumat mendapati suspek bersembunyi di sebuah rumah tidak jauh dari tempat kejadian.

Ketika tiba di rumah terbabit, anggota polis menemui kenderaan yang dilaporkan hilang dan turun untuk membuat pemeriksaan, bagaimanapun suspek melarikan diri, sebelum mangsa Wan Mohd Arif mengejar suspek dan sebaik tiba di lokasi kejadian yang gelap, mereka dikatakan tergelincir dari tebing setinggi lima meter dan terjatuh ke dalam sungai.

SHARE

Author: verified_user

0 komen: