Wednesday, 21 November 2018

Nekad Jual Telur Sotong, Sara Keluarga

SHARE
Alias Harun bersama peserta PJD selepas Majlis Penyampaian Cek PJD
KUALA TERENGGANU, 21 November - Nekad mahu mengubah kehidupan keluarga selepas kematian suami pada 2006, mendorong Aini Harun, 52, dari Seberang Kastam, Besut menjual telur sotong secara kecil-kecilan.

Aini berkata, ketika itu dia hilang punca pendapatan untuk menanggung empat anak yang masih kecil, hanya terlintas untuk menjual telur sotong selepas melihat kejayaan beberapa kenalan di Kuantan, Pahang.

“Saya memberanikan diri menjual produk dari Kedah itu di Terengganu berikutan tiada pesaing, selain mahu menampakkan kelainan berbanding peniaga lain.


“Alhamdulillah selepas beberapa tahun, produk yang menggunakan nama Kak Ma Telur Sotong mendapat sambutan cukup menggalakkan, mampu menjual  antara 10 hingga 15 kilogram (kg) sehari dengan nilaian RM35 sekilogram,” katanya.

Aini berkata demikian selepas Majlis Penyampaian Cek Pinjaman Program Jaya Diri (PJD) di Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT), Kuala Terengganu, hari ini.

Hadir merasmikan program itu, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri, Alias Harun dan Pengarah YPKT, Mohd Shafaruddin Mustaffa.

Aini turut memberitahu, dalam tempoh tertentu terutama pada Jun dan Julai, bekalan telur sotong akan terputus kerana bukan musim sotong bertelur..

“Keadaan ini menyebabkan pelanggan terdiri daripada pengusaha restoran tempatan dan individu dari Kuala Lumpur terpaksa menunggu dalam tempoh lama.

“Tidak mahu berdepan masalah itu, saya mengambil keputusan membuat pinjaman PJD dalam jumlah RM10,000 supaya dapat dijadikan modal untuk membeli telur sotong dalam kuantiti yang banyak agar bekalan untuk pelanggan tidak terputus.

“Selepas ini, saya mahu membuat tempahan sehingga 200 kg berbanding hanya 100 kg sebelum ini,” katanya yang kini kembali berumahtangga.

Sementara itu, Alias yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang berkata, YPKT merekodkan pada masa kini, seramai 2,643 peserta PJD aktif membuat pinjaman dengan nilaian RM15 juta.

 

Katanya, program itu nyata membantu peserta kerana mengenakan syarat yang mudah iaitu penubuhan kumpulan bagi menggantikan cagaran atau penjamin yang bekerja tetap.

“Berdasarkan rekod, setiap peserta yang mengikut program itu mampu memperoleh pendapatan antara RM500 sehingga RM2,000 sebulan.

“’YPKT akan terus meningkatkan usaha melahirkan usahawan dari kalangan peserta PJD itu dengan bantuan kursus dan bimbingan yang bersesuaian.

“’Perkara ini sangat penting kerana sebahagian besar peserta yang menyertai program ini tidak pernah mendapat bimbingan keusahawanan,” katanya
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: