Sunday, 25 November 2018

Najihah Tidak Kisah Suami OKU; Walimatulurus Perdana Terengganu

SHARE

MARANG, 25 November - Setiap wanita pastinya inginkan lelaki sempurna sebagai suami, namun bagi Nur Najihah Mohammad, 24, beliau menerima ketentuan jodohnya bersama pasangan, Syed Izz Zahiruddin Syed Kamaruddin, 25, dengan hati yang terbuka.

Tentunya menjadi suatu kenangan terindah buat pasangan ini apabila diraikan bersama 30 pasangan lain dalam program Walimatulurus Perdana 2018 bagi Parlimen Marang yang turut dimeriahkan dengan kehadiran Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan isteri Tuan Faezah Tuan Ab Rahman di Dewan Tok Guru, Rusila, Marang.

Nur Najihah dan Syed Izz Zahiruddin yang kini bekerja di bawah satu bumbung di sebuah syarikat swasta mula berkenalan sebagai rakan biasa di laman sosial Facebook sejak 2013 sebelum menjalin hubungan lebih serius dua tahun lalu.



“Perancangan awal kami sebenarnya untuk mendirikan rumahtangga pada Februari tahun depan, tetapi kami merasa sangat bertuah dan gembira apabila terpilih mengikuti majlis akad nikah dan resepsi yang dianjurkan kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) ini.

“Kami bersyukur kerana semuanya berjalan lancar. Alhamdulillah, dengan adanya majlis sebegini sedikit sebanyak dapat membantu pasangan muda yang baru melangkah ke alam pekerjaan seperti kami untuk mendirikan masjid,” ujar Syed Izz Zahiruddin yang menghidap sakit saraf di bahagian kaki dan tangan selepas mengalami demam panas ketika berusia setahun kepada pemberita.

Sementara itu, Nur Najihah berkata, beliau mendapat tahu kekurangan diri suaminya itu di awal persahabatan mereka dan menganggap ianya tidak mendatangkan masalah dalam perhubungan mereka.



"Saya mula bersemuka dengan dia setelah setahun kenal dan boleh menerima keadaan dirinya, begitu juga dengan keluarga walaupun pada mulanya sedikit sukar untuk menyakinkan mereka," ujarnya yang tertarik dengan sifat peramah lelaki itu yang kini telah bergelar suaminya yang sah.

Pada majlis berkenaan, Dr Ahmad Samsuri turut menyampaikan replika kad nikah kepada pasangan pengantin.

Turut hadir, Pengarah YPKT, Mohd. Shafaruddin Mustaffa.

Majlis Walimatulurus Perdana 2018 yang memasuki siri ketiga itu diadakan secara serentak dengan disertai 190 pasangan dari seluruh daerah negeri ini.

Kesemua pasangan berkenaan melangkah ke fasa baharu kehidupan selepas dinikahkan di masjid daerah masing-masing awal pagi tadi.

Program ini merupakan salah satu usaha kerajaan negeri dalam membantu memudahkan pasangan di negeri ini mendirikan rumah tangga, memandangkan bebanan kos mengadakan majlis perkahwinan yang semakin meningkat di samping mereka turut dibimbing dalam pembentukan rumah tangga.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: