Monday, 26 November 2018

Bajet 2019 : Nafi Tawar Insentif Perkahwinan RM1,000

SHARE

KUALA TERENGGANU, 26 November - Kerajaan negeri tidak pernah menawarkan insentif RM1,000 kepada peserta Majlis Walimatulurus Perdana 2018 sebaliknya menyatakan akan menerima kembali wang caruman dalam jumlah yang sama.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri,  Hanafiah Mat berkata, perkara itu sudah dimaklumkan lebih awal kepada peserta sebagai syarat penyertaan.

Katanya,  bayaran wang caruman RM1,000 dikenakan kepada mereka yang terlibat sebagai bayaran komitmen bagi mengelak menarik diri pada saat akhir. Bagaimanapun, wang berkenaan dikembalikan kepada peserta pada hari majlis berlangsung.

“Oleh itu, tidak adil segelintir pihak menuduh kerajaan negeri menipu rakyat dengan menyatakan ada menawarkan insentif RM1,000 kepada peserta program,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu wang  caruman Majlis Walimatulurus Perdana yang ditularkan pihak tidak bertanggungjwab dalam sidang media sempena Sidang Dewan Undangan Negeri di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Hanafiah berkata, dalam program sama yang dianjurkan kerajaan negeri sebelum ini, wang caruman RM1,000 dimasukkan ke dalam akaun Sijil Simpanan Premium Bank Simpanan Nasional (SSP-BSN).

“Bagaimanapun, pihaknya tidak meneruskan pendekatan itu kerana didapati wujudnya unsur riba.

“Selain wang caruman dikembalikan, peserta turut mendapat keistimewaan lain, termasuk set persalinan pakaian pengantin, khidmat juru nikah, pakej set perkahwinan (pelamin, andaman, kek, kad jemputan kahwin dan khidmat jurugambar) dan jemputan 100 tetamu bagi setiap pengantin,” katanya.

Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM800,000 bagi menjayakan Walimatulurus Perdana 2018 melibatkan 190 pasangan muda yang berlangsung serentak di seluruh Parlimen pada Sabtu lalu.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: