![]() |
Dr Azman Ibrahim. |
KUALA TERENGGANU, 14 November - Kerajaan Terengganu bergerak ke arah momentum baharu apabila menjalin persefahaman dengan Felda untuk melibatkan penyertaan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di Terengganu sebagai anggota Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) berkuat kuasa serta merta.
Pengumuman itu dibuat Pengerusi Jawatankuasa Pertanian,
Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim dalam satu sidang media di Wisma Darul Iman, semalam.
Turut hadir, Pengurus Besar Felda Wilayah, Mohd Helmi Fahkzan Abdul
Wahab dan Pegawai Khas Menteri Besar bagi Hal Ehwal Tanah Persekutuan, Naraza
Muda.
Dr. Azman berkata, pihak pengurusan tertinggi Felda telah
bersetuju supaya Pengerusi MPKK menjadi anggota JKKR yang sebelum ini dianggotai
ketua-ketua blok dan dipilih secara demokrasi oleh peneroka tanah rancangan
tersebut.
Katanya, kedua-dua keanggotaan itu berfungsi untuk menjaga
kepentingan peneroka termasuk dalam hal kebajikan, pembangunan dan keperluan
setempat.
Menurutnya, MPKK adalah struktur pentadbiran negeri yang
berada di peringkat paling bawah untuk menjadi agen penyampai kerajaan
negeri.
"Struktur pentadbiran Felda pula berbeza dengan
pengurusan kampung biasa sebab Felda ada pentadbiran sendiri yang dipanggil
JKKR," jelasnya.
Beliau berkata, pentadbiran kerajaan negeri dan pengurusan Felda perlu diselaraskan supaya tidak ada ruang kosong berlaku sehingga
menimbulkan masalah kepada peneroka.
"Jadi kalau MPKK bergerak satu hala, JKKR pula bergerak
ke arah satu hala yang lain, di situ dia akan tinggalkan satu ruang kosong.
"Ruang kosong ini kita mahu tiadakan dengan cara kita
libatkan MPKK ke dalam JKKR," jelasnya lagi.
Justeru, beliau mengharapkan kerjasama itu memberi manfaat
kepada kira-kira 7,459 orang peneroka dan 60,000 isi rumah di 21 tanah
rancangan Felda seluruh negeri Terengganu.
Sementara itu, Mohd Helmi Fahkzan menyokong penuh jalinan
kerjasama itu sambil berkata, kedua-dua belah pihak perlu memanfaatkan perkara
positif untuk kebaikan peneroka Felda dengan mengenepikan fahaman politik.
Terdapat 50 MPKK yang terbabit dengan tanah rancangan Felda dan akan bekerjasama dengan 20 JKKR seluruh negeri Terengganu.
0 komen: